KOTA BHARU: Percanggahan kenyataan dua kementerian berkaitan cadangan memansuh syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) memperlihatkan kelemahan kerajaan.
Semalam Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menafikan terbabit dalam membuat keputusan tersebut.
Sedangkan sebelum itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilapor menjelaskan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah KPM.
Lebih mengejutkan lagi hasrat KPM bercanggah dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) untuk membangunkan sosioekonomi dan merapatkan jurang ekonomi komuniti Bumiputera.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, PuTERA35 dilancar Perdana Menteri pada 19 Ogos 2024 bagi meningkatkan pemilikan saham perniagaan individu daripada 18.4 kepada 30 peratus menjelang 2035.
Namun katanya, langkah KPM tidak lagi menetapkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad mengoperasikan IPS dianggap menjejaskan usaha menambah ekuiti Bumiputera.
Malah kata beliau syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS melalui syarikat sendirian berhad turut dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.
“Penafian yang dibuat MITI tidak boleh dipandang mudah kerana berlaku percanggahan fakta yang melibatkan dua kementerian.
“Rakyat hendak tahu siapa yang bertanggungjawab membuat keputusan tersebut kerana dianggap bertentangan dengan langkah kerajaan untuk meningkat ekuiti Bumiputera,” katanya di sini.
Dasar itu juga dikatakan melibatkan pusat tuisyen yang beroperasi di bawah struktur syarikat.
MITI pada kenyataan semalam menjelaskan kementerian itu tidak mempunyai maklumat berhubung isu berkenaan.
Malah, kementerian terbabit menegaskan isu berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.
Baru-baru ini KPM dilapor menjelaskan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah KPM.
Menurut kenyataan itu keputusan tersebut dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan MITI.
KPM juga memberitahu penyelarasan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak.
KPM turut memaklumkan bakal mengemuka cadangan semakan semula peraturan pemilikan pusat tuisyen kepada Jemaah Menteri minggu depan berikutan kebimbangan yang berbangkit berhubung syarat pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera.
Wan Roslan yang juga anggota Exco Kerajaan Kelantan berkata, hasrat kerajaan sebelum ini untuk mencapai ekuiti Bumiputera 30 peratus dianggap semakin jauh dengan polisi baru diperkenalkan KPM.



0 Comments