Lebih 1,000 rakyat Kelantan belajar di luar negara

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Sehingga kini terdapat lebih 1,000 rakyat Kelantan yang sedang melanjut pengajian di Arab Saudi, Mesir, Jordan dan beberapa negara lain.

Jumlah itu merangkumi 147 pelajar yang direkodkan tahun ini dan termasuk 107 orang baharu memulakan pengajian semester pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, di Jordan terdapat kira-kira 200 pelajar dari Kelantan.

Katanya, pada masa ini mereka dapat mengikuti kuliah seperti biasa meskipun negara di Timur Tengah sedang berdepan dengan pergolakan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan semasa pelajar kita di negara berkenaan melalui komunikasi dengan pihak berkaitan.

“Kerajaan negeri juga mempunyai tiga kakitangan yang menguruskan hal ehwal penuntut di luar negara bagi menyelaras kebajikan mereka,” katanya pada sidang media sempena Sambutan 36 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) Tahun 2026 di Kota Darulnaim petang semalam.

Terdahulu, media melaporkan seramai 19 orang maut, manakala 364 lagi cedera ekoran serangan Houthi terhadap lapangan terbang di Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha.

Wan Roslan juga menasihat pelajar supaya sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia bagi mendapatkan maklumat serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Setakat ini mereka selamat dan pembelajaran tidak terganggu. Keadaan masih terkawal, insya-Allah,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri mengambil iktibar pengalaman mengurus pelajar Kelantan ketika krisis berlaku di Mesir sebelum ini.

Kata beliau pemantauan diteruskan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penuntut Kelantan yang berada di luar negara sentiasa terjamin.

Post a Comment

0 Comments