WAWASAN Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) merupakan gagasan besar masa depan negara yang menggariskan kerangka pembangunan negara berteraskan Islam.
Ia sebagai pelan induk jangka panjang untuk dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2051.
WINS dilancarkan pada 2017 sebagai tawaran PAS menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Bagaimanapun WINS 2051 ditambah baik dengan pelan tindakan dan penanda aras yang lebih jelas, hasil kerjasama ilmuan, profesional dan teknokrat bagi pelaksanaannya selepas PRU16.
Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 sebagai gagasan besar masa depan negara. Ia sebagai pelan induk jangka panjang yang menggariskan kerangka pembangunan negara berteraskan Islam untuk dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2051.
Pemilihan tahun 2051 mempunyai makna tersendiri, sempena satu abad penubuhan PAS.
WINS 2051 mencerminkan iltizam parti untuk menawarkan penyelesaian berteraskan Islam secara praktikal dan berperingkat dalam konteks Malaysia.
Pada Fasa 1 mengutamakan pemulihan negara yang memberi penekanan kepada usaha menangani permasalahan utama negara.
Fasa 2 mengangkat Malaysia sebagai 'Negara Model', dan fasa 3 memposisikan Malaysia sebagai 'Negara Memimpin' di peringkat antarabangsa.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menjelaskan pada masa yang sama, beberapa pelan induk jangka panjang telah dirangka di peringkat negeri, antaranya Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di Kelantan.
Selain itu, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di Terengganu, Pelan Strategik ‘The Greater Kedah’ di Kedah, serta yang terbaharu, Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan untuk Selangor Mampan (EHSAN) di Selangor.
Inti pelan induk terbabit terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS 2026 di Dewan Tok Guru, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa baru-baru ini.
"PAS berkeyakinan Malaysia memiliki segala potensi dan sumber yang perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi membina masa depan yang lebih sejahtera untuk generasi akan datang," kata Syahir.
Bagi menterjemahkan kerangka tersebut, WINS 2051 menggariskan lima bidang tumpuan sebagai hala tuju dasar dan agenda utama, iaitu politik – integriti, keadilan, kestabilan.
Ekonomi – kemakmuran, pengagihan, penciptaan nilai. Sosial – pendidikan, kesihatan, kebajikan. Perpaduan – masyarakat majmuk, adil untuk semua. Antarabangsa – dasar luar berdaulat dan bermaruah.
Dalam konteks Belanjawan 2027, WINS 2051 menawarkan kerangka dasar yang relevan untuk memperbaiki struktur ekonomi, memperkukuh kedudukan fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kata Syahir pada asasnya, Islam meletakkan kegiatan ekonomi sebagai sebahagian daripada kewajipan memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan.
Kekayaan negara dan kitaran ekonomi pula hendaklah memberi manfaat kepada rakyat secara adil dan meluas.
"Atas prinsip ini, Presiden PAS menegaskan pertumbuhan ekonomi mesti dinikmati oleh segenap lapisan rakyat melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti, kos sara hidup yang munasabah serta pengagihan kekayaan yang lebih adil," ujarnya.
Sehubungan itu, Belanjawan 2027 perlu memperkukuh kebajikan rakyat melalui penyaluran subsidi dan bantuan sosial yang lebih berkesan bagi meringankan kos sara hidup, serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Penilaian menyeluruh terhadap beban kewangan isi rumah perlu merangkumi kos makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan mampu milik, pengangkutan awam serta penjagaan anak-anak dan warga emas.
Di samping itu, keresahan rakyat terhadap mutu perkhidmatan kesihatan dan kualiti sistem pendidikan negara tidak boleh dipandang ringan, khususnya isu kesihatan mental dan insiden keselamatan pelajar di sekolah yang semakin mendapat perhatian.
Pada masa sama, pembangunan inklusif perlu memastikan setiap negeri menikmati peluang ekonomi, pelaburan dan kemudahan asas secara saksama, seterusnya merapatkan jurang pendapatan serta pembangunan antara wilayah.
Selain itu, aspek keterjaminan tenaga dan makanan hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada kedaulatan negara.
Pelaburan dalam sektor strategik, perusahaan tempatan, industri halal dan pekerjaan bernilai tinggi perlu diperkasakan supaya negara mempunyai asas ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing pada masa hadapan.

0 Comments