Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU: Kelantan
berusaha mempertingkatkan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian
bagi meningkat produktiviti dan pengurusan kos yang cekap.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan pengeluaran makanan terus meningkat.
Selain itu untuk menjamin pendapatan lebih baik kepada petani dan pengusaha bidang pertanian.
“Sektor pertanian tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada keluasan kawasan tanaman, sebaliknya perlu diukur berdasar produktiviti, kualiti hasil dan kecekapan pengeluaran.
“Pengoptimuman penggunaan tanah, pengukuhan rantaian nilai serta penerapan teknologi antara pendekatan penting bagi memastikan pembangunan pertanian lebih terancang,” katanya ketika merasmikan Seminar Teknikal Jabatan Pertanian Negeri Kelantan (SEMTECDOA) 2026 di Institut Latihan FAMA Kota Bharu di sini, semalam.
Menurutnya pertanian merupakan sektor strategik yang menjamin bekalan makanan, menjana pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan luar bandar.
Oleh itu katanya, penguasaan ilmu teknikal dalam kalangan pegawai Jabatan Pertanian perlu dipertingkat bagi memastikan khidmat bimbingan kepada petani lebih berkesan.
Kata beliau juga Ejen Pengembangan Tanaman dan pegawai teknikal merupakan aset penting jabatan bagi menyampaikan ilmu serta teknologi kepada petani dan pengusaha.
“Tugas pegawai pengembangan bukan sekadar dinilai berdasar bilangan lawatan atau program yang dilaksanakan, tetapi perlu mengambil kira impaknya terhadap peningkatan produktiviti dan penerapan amalan pertanian yang baik,” katanya.
Katanya juga pembangunan pertanian perlu memastikan pengusaha memperoleh pendapatan lebih baik, mampu mengurus kos dengan cekap dan mempunyai akses kepada pasaran.
Menurutnya juga peningkatan pengeluaran hendaklah dilaksana secara terancang dengan mengutamakan Amalan Pertanian Baik (APB), keselamatan makanan dan kelestarian sumber.
“Kepentingan disiplin, integriti dan profesionalisme dalam kalangan warga jabatan bagi memastikan mutu perkhidmatan terus dipertingkat demi kemajuan sektor pertanian,” ujarnya.



0 Comments