Hanya kuasa politik dapat laksana amar makruf nahi mungkar

 

KOTA BHARU: Melalui kuasa politik kerajaan  yang diberi mandat oleh rakyat dapat melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, kalau ada orang kampung bermain judi secara kecil-kecilan imam boleh menegur dan memarahinya.

Katanya, bagi kesalahan yang kecil tidak semestinya memerlukan kuasa politik untuk menanganinya. 

"Tetapi kalau terdapat kedai judi dalam negara, kita perlu mempunyai kuasa politik supaya dapat membendung kegiatan tersebut. Kita mesti mempunyai kuasa dalam politik agar Islam dapat berkuasa.

"Sehingga para ulama melihat kemungkaran yang nyata berlaku di hadapan mereka, sedangkan mereka mampu menegur dan mencegahnya, tetapi mereka tidak berbuat demikian.

"Kita yang baik-baik sebenarnya boleh melawan, menegur, membongkar dan memarahi perbuatan mungkar. Namun, jika kita membiarkannya kerana sibuk dengan urusan sendiri dan sibuk dengan kelompok masing-masing menyebabkan kemungkaran terus berlaku," katanya pada kuliah perdana di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Kuliah tersebut diadakan sempena Himpunan Munajat dan Penyatuan Ummah. Program terbabit bermula Khamis lepas sehingga malam ini.

Ustaz Azhar berkata, apabila orang yang baik tidak mencegah kemungkaran, Allah akan menurunkan azab sehingga orang yang jahat dan orang yang baik turut terkena tempiasnya.

"Allah SWT meninggalkan kepada kita dua perkara yang tiada tandingannya. Contohnya kalau kita membeli basikal ia disertakan dengan buku panduan. Jika mengikut buku panduan tersebut, baru betul cara kita memasangnya," ujar beliau.


Catat Ulasan

0 Ulasan