Kerjasama strategik IPT tingkat industri agromakanan

 

Oleh Damia Hana |

JELI: Kerajaan Negeri melalui Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkukuh pembangunan industri berasaskan ilmu dan teknologi.

Antaranya Politeknik Jeli menyediakan kepakaran teknikal, kemudahan latihan dan tenaga pengajar bagi membantu peserta berkaitan teknologi penternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, Kelantan Biotech berperanan menyelaras dan melaksanakan bengkel.

Katanya, kerjasama strategik itu diharap dapat meningkatkan kemahiran peserta serta membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan yang memberi manfaat kepada industri agromakanan negeri.

“Begitu juga berkaitan penggunaan teknologi sistem bioflok penternakan ikan tilapia berpotensi membuka peluang baharu kepada pengusaha mengembangkan industri akuakultur.

“Peningkatan kemahiran teknikal dan pendedahan kepada teknologi dapat meningkatkan pengetahuan serta keupayaan pengusaha membangunkan industri akuakultur secara lebih terancang,” katanya pada Bengkel Bioakua: Sistem Bioflok Ternakan Tilapia di Fish Propagation House di Politeknik Jeli semalam.

Bengkel berkenaan disertai 30 peserta dari seluruh Kelantan, di mana sebahagian besar mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan ikan.

Program itu dianjurkan bagi memberi pendedahan teori dan praktikal kepada peserta mengenai teknologi sistem bioflok, termasuk kaedah pengurusan sistem serta teknik penternakan ikan tilapia.

Tuan Saripuddin juga berkata, pendedahan teknologi dan kaedah penternakan yang bersesuaian amat penting bagi meningkatkan aktiviti akuakultur secara lebih terancang.

“Pendedahan tersebut dapat membuka peluang kepada lebih ramai peserta untuk meneroka bidang penternakan ikan tilapia khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Kata beliau juga pembangunan industri akuakultur memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pemain industri dan pengusaha.


 

Post a Comment

0 Comments