
KOTA BHARU: Seorang
bapa terpaksa meredah bahang kepanasan demi menyelamatkan anak-anak daripada
menjadi mangsa kebakaran kediamannya di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian
baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi pada 2 Oktober lalu memusnahkan rumahnya, tempat keluarga berlindung.
Akibat kejadian itu Mohamad Sodri Sukri mengalami luka kecil di bahagian tangan ketika berusaha menyelamatkan anak-anaknya.
Beliau yang mencari rezeki dengan berniaga di pasar malam bersyukur kerana anak-anaknya dan keluarga selamat pada kejadian tersebut.
Seorang anaknya Muhammad Adwan Isa, lima tahun merupakan murid PASTI Anak Soleh, Kubang Kerian.
Simpati dengan kejadian tersebut PASTI Kelantan menziarahi keluarga berkenaan semalam bagi menyampaikan sumbangan.
Pengarah PASTI Negeri, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit.
“Kami juga berharap keprihatinan masyarakat bagi membantu keluarga berkenaan meringankan beban yang terpaksa ditanggung mereka.
“Setiap sumbangan walaupun kecil amat bermakna buat keluarga terbabit dalam usaha menyediakan semula keperluan asas dan membina kehidupan baharu,” katanya di sini.
Sumbangan boleh disalur kepada Mohamad Sodri Sukri melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad – 03027029698074 atau boleh mendapat gambaran lanjut di talian 017-771 2795.

0 Comments