
KUALA LUMPUR:
Pembangkang mahu kepastian sama ada kerajaan terbabit dalam misi untuk
menyelamatkan AirAsia Group yang kini dikatakan berdepan dengan masalah
kewangan.
Perkara itu dilapor beberapa media, antaranya Harian Metro pada 19 September memaparkan pengurusan AirAsia bertemu pegawai Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan sokongan kerajaan terhadap kedudukan kewangan AirAsia.
Manakala Business Times pada 12 Oktober melaporkan ‘AirAsia in talks with Malaysian Government over potential funding support’.
Ketua Whip Perikatan Nasional, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, menurut laporan media, AirAsia mempunyai pinjaman sebanyak RM3.13 bilion dan berdepan liabiliti pajakan pesawat.
Katanya, syarikat terbabit dilapor berhasrat mendapat pembiayaan daripada kerajaan sebanyak USD1 bilion yang dikatakan turut melibatkan Elton Aviation Consultancy (Elton).
“Saya ingin bertanya kepada Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan, adakah benar kementerian telah melantik Elton Aviation Consultancy untuk menjadi perantara kepada pembiayaan AirAsia?
“Kalau ada, apakah jaminan atau akujanji atau komitmen kewangan kerajaan dalam perkara tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Kewangan bagi membincangkan kemungkinan sokongan kerajaan terhadap syarikat terbabit.
Syarikat penerbangan terbabit terjejas ekoran lonjakan kos bahan api pesawat, yang meningkat 66 peratus pada suku kedua berbanding suku sebelumnya.
Menurut laporan kerajaan turut mendapat kepastian Malaysia Airlines dan Batik Air sama ada mampu mengambil alih pasaran domestik AirAsia sebagai sebahagian daripada perancangan senario.
Harga saham AirAsia juga dilapor jatuh sehingga 21 peratus, menghampiri paras terendah dalam tempoh hampir empat tahun.
Takiyuddin berkata, apakah benar kerajaan mempunyai perancangan untuk memberi pembiayaan ataupun sokongan kewangan kepada AirAsia yang dilapor mempunyai masalah kewangan.
“Saya ingin bertanya kepada Menteri Pengangkutan, adakah benar MAHB masih tidak dibayar oleh AirAsia ataupun syarikat-syarikat related dengan AirAsia sebanyak RM500 juta?
“Adakah caj perkhidmatan penumpang (passenger service charge) yang diambil daripada penumpang tidak dibayar oleh AirAsia kepada Malaysia Airport Holding Berhad?
“Ini perkara yang bukan sahaja hanya melibatkan MyEG, yang kedua pula daripada AirAsia kepada MAHB,” ujarnya.

0 Comments