KOTA BHARU: Selepas Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan pada tahun 2020, PAS menjadi antara penyumbang utama kepada gabungan tersebut termasuk dari segi kewangan.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS banyak menyumbang kepada PN bagi memastikan kesinambungan pakatan tersebut.
Katanya, seramai 43 Ahli Parlimen PAS memberi sumbangan bulanan kepada PN bagi membantu membiayai pengurusan dan kegiatan gabungan tersebut.
“Sumbangan tersebut memperlihatkan komitmen PAS untuk memastikan gabungan itu terus berfungsi dan bergerak sebagai satu pasukan.
“Manakala sumbangan daripada parti-parti lain tidak semestinya diberi secara konsisten seperti dilakukan PAS,” katanya pada Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian di sini malam semalam.
Hadir sama Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Dato’ Abdul Rahman Yunus dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jeli, Dato’ Abdullah Ya’kob.
PN ditubuh pada April 2020 melibatkan wakil daripada Bersatu, PAS dan MIC. Ketika itu Bersatu diwakili Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Dato’ Dr Ronald Kiandee. Selain itu dua wakil PAS dan dua wakil MIC.
Tujuh pemimpin terbabit merupakan penaja penubuhan PN. PN dipimpin Muhyiddin Yassin bermula 2020 hingga 2025.
Bagaimanapun selepas berlaku krisis dalaman Bersatu, PAS kemudian menerajui PN berdasarkan kedudukan dan kekuatan parti tersebut.
Takiyuddin juga berkata, penubuhan gabungan politik memerlukan penglibatan anggota penaja daripada parti-parti yang terlibat.
“Usaha menyatukan umat merupakan satu perkara penting yang perlu dilaksanakan melalui jalan yang tidak bercanggah dengan undang-undang.
“Dari sudut demokrasi, usaha menyatukan orang Melayu, umat Islam dan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem merupakan pendekatan yang boleh dilakukan secara sah,” ujarnya.
Pada ceramah itu beliau juga berharap orang ramai hadir pada himpunan kemuncak Penyatuan Ummah di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat ini.



0 Ulasan