KOTA BHARU: PAS kini bersiap sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual diadakan pada 14 November ini.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kemungkinan besar PAS akan bertanding menggunakan logo parti itu memandangkan kegiatan Perikatan Nasional (PN) digantung sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Begitu juga katanya Parti Wawasan atau Gerakan kemungkinan besar bertanding menggunakan logo parti masing-masing bagi PRN Melaka kali ini.
“PN masih lagi ada masalah dengan ROS. Jadi buat masa ini parti-parti di bawah PN boleh menggunakan logo masing-masing.
“Bagaimanapun kalau ada yang hendak guna logo PAS, itu tidak ada masalah kalau mereka setuju. Tetapi bagi saya dalam konteks Melaka lebih baik mereka guna logo masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.
SPR hari ini menggunakan tarikh PRN Melaka di mana penamaan calon akan diadakan pada 31 Oktober dan hari mengundi awal 10 November ini.
Pengerusi SPR, Dato’ Seri Ramlan Harun dilapor berkata, writ pilihan raya dikeluarkan hari ini selepas tarikh-tarikh penting berkenaan diputuskan.
Mesyuarat khas SPR diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.
Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, gerak kerja pilihan raya PAS belum dilakukan secara rasmi memandangkan tarikh pilihan raya hanya diketahui hari ini.
Bagaimanapun kata beliau, persiapan jentera pilihan raya sudah siap hampir 100 peratus .
“Cuma sekarang kita belum lagi putuskan secara rasmi di kerusi Dun mana yang akan ditandingi. Setakat perbincangan sebelum ini PN akan bertanding di tujuh kerusi yang tidak ditandingi BN.
“Dan PAS kemungkinan besar akan bertanding di empat kerusi,” ujar beliau.




0 Comments