Rundingan kerusi PAS-BN dimuktamad tempoh terdekat

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Rundingan kerusi antara PAS dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih di peringkat jawatankuasa induk dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sehari dua hari.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini, tujuh kerusi yang diberi kepada PAS seperti disebut Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih dalam perbincangan. 

Katanya Umno menganggap kerusi berkenaan yang ditandingi mereka sebelum ini, namun rundingan bagi beberapa kerusi lain masih diteruskan.

"Keputusan akhir akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi melalui jawatankuasa rundingan kerusi," katanya selepas menyampaikan kuliah khas Pagi Jumaat di Dataran Warisan di sini hari ini.

Program itu diadakan sempena sambutan 36 tahun pemerintahan Membangun Bersama Islam yang berlangsung selama tiga hari, sehingga esok.

Kemuncaknya hari ini  Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pengumuman calon dijangka dibuat pada minggu terakhir sebelum penamaan calon berlangsung 31 Oktober ini.

"Kemungkinan diadakan pada 28 atau 29 Oktober, manakala Umno dijangka mengumumkan calonnya lebih awal. Apa yang lebih penting kerjasama antara parti bagi memastikan jentera dapat bergerak bersama," katanya.

Menurutnya juga nama-nama calon masih belum boleh diumumkan kerana proses pemilihan belum dimuktamadkan. 

Kata beliau pengumuman akan dibuat selepas keputusan dicapai bersama BN.

Beliau juga berkata, kerjasama turut melibatkan penyelarasan jentera antara parti yang bertanding di bawah persefahaman bersama.

Mengenai kedudukan Bersatu dalam PN katanya, parti itu masih lagi merupakan parti komponen PN.

"Sebelum ini, terdapat persoalan mengenai status kehadiran wakil Bersatu dalam mesyuarat PN susulan aduan yang dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Keadaan itu menimbulkan kesukaran kerana kesahan mesyuarat boleh dipersoalkan sekiranya isu berkenaan tidak diselesaikan terlebih dahulu," ujarnya.

Beliau juga berkata, surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung Bersatu untuk mendapatkan penjelasan mengenai status berkenaan belum lagi diterima.

Berhubung penggunaan logo PN, kata beliau perkembangan terkini mengenai proses mahkamah perlu diteliti bagi menentukan langkah seterusnya.

Berdasarkan maklumat diterima, terdapat kemungkinan pihak berkaitan meneruskan proses rayuan. 

"Bagaimanapun, kedudukan penggunaan logo dalam pilihan raya bergantung pada proses undang-undang serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.

"Sekiranya sesuatu logo telah dikemukakan dan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut prosedur yang ditetapkan, sebarang perubahan perlu mengambil kira peruntukan undang-undang pilihan raya dan bidang kuasa SPR.

"Sekiranya penggunaan logo PN tidak dapat dilaksanakan sebelum proses pencalonan, PAS perlu bersedia mempertimbangkan pilihan lain, termasuk penggunaan logo parti sendiri, tertakluk pada keputusan pimpinan dan peraturan pilihan raya," katanya.



Catat Ulasan

0 Ulasan