Selepas sah nama Nik Mohammad Abduh tidak tercalon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, maka timbul pelbagai telahan kononnya wujud usaha untuk menghapuskan legasi ayahnya Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Telahan itu semakin riuh apabila tersebar satu kenyataan rakaman video oleh Nik Din Nik Mat yang mendakwa Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd. Amar Abdullah menjadi punca Nik Mohammad Abduh tidak dicalonkan pada PRN ini.
Melalui rakaman video tersebut, Nik Din mendakwa Mohd. Amar tidak mahu keluarga Nik Abdul Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa, tetapi tidak menyatakan sebab-sebabnya.
Persoalan anak Nik Abdul Aziz itu dicalonkan atau sebaliknya telah timbul sejak beberapa minggu sebelum hari pengumuman calon bagi PRN ini pada Khamis lepas. Tiada isu berbangkit mengenainya. Nik Mohammad Abduh sendiri sudah menjawabnya dengan cukup berhemah.
Semasa ditemui ketika menghadiri ceramah mega ‘Ppakat Pertahan Kelantan’ di Bachok, baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Bachok itu berkata “Saya serah pada pimpinan. Yang penting saya kekal istiqamah, dan akan bersama jentera PAS dalam kempen PRN nanti”.
Mengenai dakwaan wujud usaha menghapuskan legasi ayahnya sekiranya dia tidak dicalonkan, Nik Mohammad Abduh sama sekali menolak tanggapan itu.
Katanya, legasi tok guru bukan menjadi calon tetapi memperjuangkan Islam.
“Legasi tok guru bukan menjadi calon, legasi tok guru adalah memperjuangan Islam dan mempertahankan kerajaan negeri Kelantan.
“Itu legasi tok guru, menjadi calon bukan legasi tok guru,” tegasnya.
0 Comments