Momentum penolakan total rakyat terhadap kerajaan kakistokrasi PH kian meningkat menjelang hari penamaan calon. Fenomena berkenaan terpamir hampir di semua enam negeri pada proses penamaan calon pagi tadi.
Dalam konteks Kelantan, PH mengetuai cabaran mengambil alih kerajaan dari PN dalam keadaan mereka tidak menyandang walaupun satu kerusi dalam PRU 14 berbanding BN lapan.
Ratib ‘ho ya hoi’ dan tasbih ‘no Anwar no Dap’ lapan bulan lepas masih basah di bibir masing-masing. Ahli akar umbi yang setia kini mengalami kecamuk perasaan, marah dan kecewa yang tidak mungkin mampu ditutup dengan gula-gula ‘perpaduan’ mahupun ‘madani’.
PH Kelantan yang diketuai parti Amanah sememangnya terkenal dengan zikir Tok Guru Nik Aziz (TGNA) yang disulam jampi mentera kononnya mereka menyanjung dan menyambung perjuangan TGNA.
Sentimen legasi TGNA telah seringkali dipalitkan dengan keterlibatan anakandanya yang mewakili PH dalam pilihanraya tetapi tidak berjaya untuk meraih kemenangan.
Menjelang PRN 15 ini, sentimen itu dipertajamkan lagi, diolah secara wewenang menjadi strategi tiga suku masak oleh PH apabila menyamakan legasi TGNA mengemudi perjuangan politik Islam menerusi sistem demokrasi dengan legasi TGNA mengetuai kerajaan negeri sebagai Menteri Besar Kelantan.
Ruang sensitif emosi dan hasrat murni meneruskan kelangsungan kepimpinan TGNA dalam kalangan keluarga besarnya telah ditunggang semahunya oleh PH yang kini memalitkan pula ‘tafsiran nakal’ legasi TGNA dengan Nik Abduh, mantan Ahli Parlimen juga mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Penghormatan dan ingatan rakyat Malaysia umumnya dan Kelantan khasnya terhadap sumbangan dan jasa TGNA tidak akan pernah luntur, begitu juga terhadap keluarga besarnya yang sekian lama mendokong perjuangan beliau memartabatkan peranan politik Islam di negeri dan negara ini.
Persoalannya kenapa Mohd Amar, mantan TMB, Naib Presiden PAS Dan juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan yang jadi sasaran serangan. Jawapannya ialah kerana pendekatan secara character assassination ini mampu membunuh, sekaligus menamatkan karier politik mangsanya.
Namun, perlu diingat kerana pendekatan ini juga boleh menatijahkan hasil yang sebaliknya andai gagal dikawal dan diurus dengan baik oleh mereka yang ‘bermain’ dengannya. Mereka berisiko melahirkan seorang lagi watak yang mampu menghalang dan meranapkan cita-cita politik PH di negara ini.
PH tidak mahu belajar dari kesilapan mereka membina keperkasaan dan memberi ruang pembinaan citra kepemimpinan MB Sanusi di Kedah.
Jadi, dalam isu Nik Abduh ini siapa yang untung dan siapa yang rugi?
0 Comments