SPM: 92 pelajar YIK dapat semua A

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Sebanyak 41 daripada 83 sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencatat kelulusan 100 peratus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumum semalam.

Peratus kelulusan meningkat kepada 97.84 peratus berbanding 97.50 peratus pada tahun 2024.

Tiga sekolah mencatat keputusan cemerlang iaitu Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah (2.05), Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (2.65) dan Maahad Sains Tok Guru (2.69).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Kamaruzaman Mohamad berkata, seramai 216 calon memperolehi 9A hingga 12A.

“Daripada jumlah itu 92 pelajar memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 sekolah YIK di Dewan Utama Kompleks YIK, Tunjong semalam.

Menurutnya, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah muncul terbaik pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi kategori Maahad Kawalan dengan GPS (2.05), diikuti Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (2.65) dan Maahad Sains Tok Guru (2.69).

Bagi kategori Maahad Pilihan pula Maahad Muhammadi Pasir Pekan mencatat GPS (3.64), diikuti Maahad Muhammadi Pasir Mas (4.20) dan Maahad Saniah Pasir Puteh (4.22).

Kategori Maahad Kerajaan, Maahad Syamsul Maarif (P) mencatat 4.43, diikuti Maahad Taqaddum Maarif (5.05) dan Maahad Al Sabirin Ayer Lanas (5.35).

Sekolah terbaik kategori Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Bantuan disandang SMU (A) Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung dengan pencapaian GPS (4.05), SMU (A) Hamidiah Padang Lepai (5.28).

Manakala sekolah terbaik kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) iaitu SMU (A) Darul Ulum Jedok 3.54, SMU (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang (3.79) dan SMU (A) Marziah Jabo (3.85).

Kamaruzaman juga berkata, beberapa pelajar mencatat pencapaian cemerlang dengan memperoleh keputusan sehingga 12A, antaranya pelajar Maahad Sains Tok Guru dan Maahad Muhammadi Perempuan.

“Seramai 4,813 pelajar daripada 83 sekolah YIK menduduki peperiksaan SPM 2025. Jumlah itu menurun seramai 277 calon berbanding tahun 2024 seramai 5,090 calon,” ujarnya.

Menurutnya juga kejayaan pelajar YIK mencerminkan komitmen tinggi semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Saya mewakili kerajaan negeri merakam ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang. Terima kasih juga kepada MAIK, YAKIN serta semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berharap momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato' Wan Roslan Wan Hamat turut merakam ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi saguhati kepada pelajar yang cemerlang semua peperiksaan iaitu SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysian (STAM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysian (STPM).

“Kerajaan negeri juga akan meneruskan Tuiyen Rakyat Sejahtera dengan melibatkan jumlah pelajar lebih ramai,” katanya pada perutusan melalui video dari luar negara.

 

Post a Comment

0 Comments