Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengeluarkan pekeliling bagi menyelaras
pelaksanaan aktiviti pendidikan susulan keadaan cuaca kering dan panas
sekarang.
Pekeliling itu mengandungi garis panduan serta arahan berkaitan perancangan aktiviti yang perlu dilaksanakan pihak pengurusan sekolah.
Pengarah YIK, Shamsul Abu Bakar berkata, pekeliling tersebut dikeluarkan mengikut ketetapan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
“Pekeliling itu diedarkan pada Ahad lepas dan semua pihak sama ada sekolah serta pihak yang berkaitan diminta mematuhinya,” katanya di sini.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dilapor berkata, pentadbir sekolah diberi kuasa menentukan sama ada operasi sekolah perlu ditutup susulan cuaca panas yang melanda negara sekarang.
Keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta status amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Shamsul berkata, pelaksanaan aktiviti tertakluk kepada arahan dan akan diselaras mengikut keadaan cuaca dari semasa ke semasa.
“Pelaksanaan aktiviti adalah tertakluk kepada arahan semasa dan akan diselaraskan mengikut keadaan cuaca.
“Sebarang tindakan lanjut termasuk pelaksanaan program atau penglibatan pelajar akan bergantung kepada garis panduan yang terkandung dalam pekeliling tersebut,” katanya.
Beliau juga berkata, jumlah pelajar YIK tahun ini meningkat sebanyak 2.9 peratus berbanding sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan itu memperlihatkan tahap kepercayaan ibu bapa dan masyarakat terhadap sistem pendidikan YIK yang berteraskan keseimbangan ilmu akademik, sahsiah serta nilai-nilai Islam.
"Semakin ramai ibu bapa menghantar anak belajar di sekolah YIK, di mana ia mencerminkan keyakinan usaha YIK memperkasa kualiti pengurusan sekolah, kebajikan pelajar, kompetensi guru serta persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berakhlak," katanya.
Sementara itu baru-baru ini pegawai dan kakitangan YIK melaksanakan solat sunat Istisqa’ bagi memohon rahmat hujan daripada Allah SWT.
Solat tersebut diadakan di gelanggang tenis YIK yang turut disertai pengarah dan pegawai-pegawai.



0 Comments