KETEREH – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan berjalan lancar sehingga ia ditutup kira-kira jam 10 pagi hari ini.
Pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Melor, Kadok dan Kok Lanas antara pusat yang menjadi tumpuan kerana ia dikaitkan dengan kawasan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Anuar Musa yang kini menyertai PAS.
PN mula berarak mengiringi calon ke dewan MDKPI dari perkarangan bangunan PAS Kawasan Ketereh seawal jam 8 pagi diiringi lebih seribu penyokong dengan alunan zikir yang penuh bersemangat dan ceria sekali.
Situasi nampak lebih bersemangat dan ceria dengan kehadiran Anuar yang dianggap oleh masyarakat sebagai ikon pimpinan politik Ketereh khususnya bagi memberi sokongan kepada calon dan penyokong serta pengundi kawasan berkenaan.
Situasi itu berbeza sekali dengan PH. Kawasan berhimpun penyokong-penyokongnya dilihat suram dan hambar selain bilangan kehadiran mereka sangat kecil. Bagai hadir hanya untuk menunggu siap proses penamaan sahaja.
Kesemua DUN terbabit menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
DUN Melor, PN mempertaruhkan Wan Rohimi Wan Daud menentang calon PH, Azmi Ishak. Kadok diwakili penyandang Dato’ Azami Mohd Noor (PN) menentang Azizan Razak (PH) dan Kok Lanas, Dato’ Mohamed Farid Mohamed (PN) berdepan Ahmad Deraman (PH)
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN di enam negeri berjalan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal 8 Ogos.
Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding hari ini sehingga 11.59 malam 11 Ogos.
0 Comments