Berita sensasi yang mencuri tumpuan menjelang 11 Hari PRN 15 di enam negeri ialah cabaran debat Menteri Ekonomi PH Rafizi Ramli yang disambut Syahir Sulaiman, Ahli Parlimen PN Bachok.
Mantan Menteri Ekonomi, Azmin Ali yang menjadi calon PN Dun Hulu Kelang di Selangor sebelum ini menolak cabaran Rafizi yang kemudiannya beralih mencabar mantan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor.
Sanusi yang merupakan Pengarah Pilihanraya PN akan bertanding mempertahankan Dun Jeneri Kedah juga tidak melayan cabaran Rafizi.
Penolakan Azmin dan Sanusi boleh difahami memandangkan mereka sedang terlibat secara langsung sebagai calon-calon yang bakal bertanding nanti.
Syahir sedia berdebat tanpa sebarang syarat memberitahu persetujuan itu dibuat setelah beliau mempertimbang semula jemputan apabila mendapat keizinan pucuk pimpinan partinya.
Beliau yang mencadangkan tajuk 'MALAYSIA LEBIH BAIK’ bagaimanapun menyerah pemilihan tarikh, moderator, format, dan media kepada pihak Rafizi sepenuhnya.
Samada hasrat Rafizi menjadikan debat sebagai budaya politik Malaysia menjelang pilihanraya ini akan berjaya dilangsungkan pastinya bergantung kepada perkembangan kempen menjelang tanggal 12 Ogos.
Pada dasarnya, anjuran debat sebegini begitu sinonim dengan sistem pilihanraya di Amerika Syarikat berbanding ceramah-ceramah politik anjuran parti-parti bertanding pilihanraya di negara ini.
Bagi Rafizi, pentas debat ekonomi ini mungkin boleh memberi anjakan signifikan dari lelucon ‘raja formula gagal' yang telah terpalit pada personalitinya ekoran kegagalan Anwar melunaskan pakej reformasinya setelah lapan bulan menjadi PMX.
Untuk Syahir, medan ini akan menjadi peluang terbaik untuk mengutarakan kesediaan dan kesungguhan PN menyediakan pelapis kepimpinan negara di masa hadapan.
Kepada Rafizi dan Syahir, berdebatlah dengan penuh hemah tanpa retorika melampau. Rakyat umum kini kian teruja untuk menilai.
0 Comments