TUMPAT - Annuar Musa membidas kerajaan persekutuan gabungan PH-BN agar tidak mempolitikkan kenyataan apabila mendakwa Kelantan tidak membangun sekiranya terus diperintah oleh Perikatan Nasional.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyedari bahawa kegagalan sesebuah negeri dalam soal pembangunan adalah disebabkan kerajaan pusat itu sendiri yang tidak bertanggungjawab.
“Kalau katakan Kelantan ini tidak maju, kerajaan pusat kena tanya tidak maju dari segi apa dan tanggungjawab siapa,” katanya dalam ceramah mega Ppakat Pertahan DUN Pengkalan Kubur, malam tadi.
Annuar mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam ceramahnya di Tanah Merah kelmarin menggambarkan negeri Kelantan mundur dan tidak maju.
Ahmad Zahid berkata rakyat perlu memberi mandat kepada gabungan PH-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk mengambil alih teraju kepimpinan negeri bagi memberi nafas baharu kepada Kelantan.
Mengulas lanjut, Annuar berkata negara ini mengamalkan dasar federalisme di mana perlembagaan telah menetapkan antara tanggungjawab pusat, negeri dan tanggungjawab bersama iaitu pusat dan negeri.
“Di bawah dasar itu negara kita tidak mengamalkan kerajaan pusat suku dan kerajaan negeri suku. Sebab itu kalau kata negeri ini tidak maju ia adalah salah dan dosa kerajaan pusat kerana tidak membawa masuk pembangunan,” katanya
0 Comments