Ticker

6/recent/ticker-posts

Anak muda teruja PN calon Ustaz Wadi

GUA MUSANG: Anak-anak muda di DUN Nenggiri menyambut baik pemilihan bekas Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang Ustaz Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini. 

Kata mereka Ustaz Wadi sudah lama bergelumang bersama penduduk tempatan kerana beliau aktif sebagai pendakwah.

Seorang pemuda Mohd Rodzi Abdullah, 42 beliau pernah bersama-sama Ustaz Wadi ketika mengemudi jentera pemuda DUN Nenggiri sehingga menjelajah segenap ceruk kampung. 

Rodzi


“Saya dahulu sebagai Timbalan Ketua Pemuda Dun Nenggiri dan Ustaz Wadi pula ketua pemuda, dia dengan orang kampung memang sangat rapat. 

“Jadi bila diumumkan Ustaz Wadi sebagai calon PN semua penduduk tempatan merakam ucapan alhamdulillah dan bersyukur,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Raihan Razak, 41 pula menyifatkan Ustaz Wadi mudah didekati orang muda kerana pengalamannya sebagai ketua pemuda DUN.

Biar pun tidak mengenali calon dengan lebih dekat, namun katanya beliau menyambut baik pemimpin PN memilih calon wakil rakyat dari kalangan belia yang tinggal di Dun Nenggiri. 

"Saya akan menggunakan peluang ramai kenalan untuk menarik seramai mungkin anak-anak muda di Nenggiri dan penyokong Umno supaya menyokong PN.

“Kita menggunakan wadah hiburan dikir barat yang disertsi 30 awak-awak," katanya yang merupakan pengasas kumpulan dikir barat, Sri Warisan Kasturi.

Menurutnya juga harapan orang muda di sini sangat besar jadi supaya pengganti bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim digantikan oleh Ustaz Wadi yang lebih berkelayakan. 

Bagi Amirul Haziq Mohd Shaffien 19 yang merupakan pengundi kali pertama pada PRK Nenggiri berkata, beliau lebih mengenali Ustaz Wadi berbanding calon BN Mohd Azmawi Fikri.

Amirul

Menurutnya biarpun kedua-dua calon merupakan anak tempatan, namun pada pandanganya calon PN lebih dekat dengan hati rakyat selain disenangi penduduk tempatan.

Post a Comment

0 Comments