GUA MUSANG: Kehidupan Orang Asli tidak pernah diabaikan selaras dengan Kelantan dikenali sebagai sebuah negeri yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keprihatinan kerajaan negeri boleh dilihat berkaitan projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri.
Katanya, komuniti yang terkesan dengan pembinaan tersebut menerima pampasan dan disediakan penempatan semula merangkumi perumahan, ladang getah, dusun, elaun serta logistik perpindahan.
“Selain agensi kerajaan pusat yang ambil tahu hal ehwal Orang Asli, kita juga sangat pentingkan mereka dari segi kebajikan dan kesejahteraan.
“Dan apabila dam tersebut siap dari situ dibentangkan concern kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Pulat, di sini hari ini. (Foto atas)
Hadir sama Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff; Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu, Jamaluddin Ishak dan Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), Lim Guan Seng serta pegawai khas Menteri Besar, Lau Chin Chua.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengumumkan Pos Pulat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai anak angkat kepada PEKA.
Malah, katanya entiti itu akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka sentiasa dijaga.
“Saya sudah bangkitkan benda ini dalam ucapan saya tadi, PEKA akan menjadi kawasan Pos Pulat sebagai kawasan anak angkatnya untuk menjaga kebajikan masyarakat di sini.
“Insya-Allah selepas ini PEKA akan sentiasa datang dan bekerjasama dengan JAKOA bagi memastikan kebajikan penduduk terjaga,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/7/2024
0 Comments