TANAH MERAH:
Parti Wawasan Negara yang baharu diumumkan semalam akan bertanding pada Pilihan
Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo Perikatan Nasional
(PN).
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyertaan parti berkenaan dalam kedua-dua PRN itu telah dipersetujui menggunakan lambang gabungan tersebut.
“Parti Wawasan
Negara akan bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan menggunakan logo
PN,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Reset Malaysia di tapak ekspo
Kota Harmoni dekat sini petang semalam.
Puluhan ribu hadir pada program tersebut yang dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Turut hadir pengasas Parti Wawasan Negara Dato’ Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Gerakan Dato’ Dr Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S.P. Punithan, Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Dato’ Mohamad Ismail dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Dr Ahmad Samsuri juga berkata, mana-mana parti yang mahu menyertai PN termasuk Wawasan perlu melalui proses yang diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
Menurutnya, setiap permohonan akan dibincang dalam mesyuarat dan memerlukan persetujuan majoriti parti-parti komponen PN.
PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai dan penamaan calon 27 Jun ini. Manakala PRN Negeri Sembilan penamaan calon 18 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos hadapan.
Sementara itu PN pada kenyataan menyifatkan penyertaan Parti Wawasan Negara mampu memperkukuhkan lagi kedudukan PN menjelang dua pilihan raya negeri berkenaan.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyaksikan lembaran baru PN yang bersama dalam Konvensyen Reset semalam.
“Kehadiran wakil pimpinan utama parti komponen PN daripada PAS dan Gerakan serta ucapan sokongan daripada MIPP menunjukkan keseriusan PN dalam membesarkan lagi perpaduan untuk menuju kepada PRN dan pilihan raya umum akan datang,” katanya pada kenyataan di laman sosial.
Menurutnya juga tontonan siaran langsung di media sosial Konvensyen Reset Malaysia semalam sangat meluas dan turut dikongsi siar pimpinan utama Bersatu.
Katanya, lembaran itu akan diterus demi menyatukan semua kekuatan rakyat di bawah Perikatan Nasional.




0 Comments