Ticker

6/recent/ticker-posts

PERBAIKI TABIAT SUKA BUANG SAMPAH SESUKA HATI - YB HILMI


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 29 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan termasuk 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh jajahan sentiasa memberi penerangan betapa pentingnya menjaga kebersihan dan menghindari amalan membuang sampah sesuka hati.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah memaklumkan hal tersebut sebagai langkah mendidik dan menyedarkan masyarakat supaya memperbaiki tabiat yang suka membuang sampah merata-rata dan bukan dalam tong sampah yang disediakan.

Katanya, sikap individu tertentu yang gemar membuang sampah sesuka hati masih ada. Kempen dan amalan kebersihan perlu berjalan serentak tanpa henti kerana kebersihan adalah sunah Rasulullah SAW dan sebahagian daripada keimanan.

“Agenda Kelantanku Bersih tidak akan tercapai dengan meletakkan bebanan kepada PBT masing-masing tanpa kerjasama serta peranan semua pihak tanpa mengira lapisan masyarakat dan peringkat umur. 

“Sejak program Kelantanku Bersih diperkenalkan 10 tahun lalu, tahap kebersihan dan keceriaan bandar-bandar utama di Kelantan semakin baik, menjadikan suasana bandar-bandar di peringkat jajahan bertambah baik,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas berkenaan Majlis Gotong Royong Perdana Peringkat Jajahan Tanah Merah yang diadakan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada 25 Julai, beliau berkata program tersebut dilaksanakan serentak di seluruh Kelantan.

“Ia diadakan dari masa ke semasa sepanjang tahun ini, bersesuaian Tahun Melawat Kelantan 2024. Sebanyak lapan kawasan telah menjadi pilihan untuk dibersihkan pada program yang dijayakan lebih 500 petugas daripada 12 PBT.

“Objektif utama program adalah untuk terus menyemai semangat cintakan amalan kebersihan dalam kalangan seluruh penduduk dalam negeri Kelantan,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments