Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN NEGERI SEDIAKAN LOT TANAH KEDIAMAN KEPADA SETINGGAN KAMPUNG BERTAM


Oleh: Zaki Mustafa 

GUA MUSANG, 23 Julai - Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud menjelaskan bahawa penduduk yang terlibat dengan pemindahan di tapak projek pembinaan jalan baharu yang menghubungkan dari Kampung Bertam Lama ke Jalan Bertam Baru (D235) di Daerah Nenggiri diberikan gantian tanah lot kediaman yang terletak tidak jauh dari penempatan asal. 

Tanah yang dianggarkan bernilai RM50 ribu bagi setiap lot itu tidak dikenakan sebarang bayaran melainkan bayaran proses pemilikan tanah sahaja.

"Kita dah cadang kawasan gantian kepada mereka dan Pejabat DO telah minta kerjasama daripada Kementerian Kerjaraya Malaysia untuk menyediakan sedikit peruntukan untuk bantuan saguhati kepada semua penduduk yang terlibat dengan pembinaan jalan dan jambatan di Kampung Bertam," jelas Nik Raisnan ketika ditemubual media UPKN di pejabatnya di sini baru-baru ini. 


Projek pembinaan jalan baharu tersebut menyeberangi Sungai Nenggiri. Berdasarkan kepada maklumat dan siasatan awalan di pejabat tanah, terdapat beberapa buah rumah kediaman sedia ada yang terlibat di dalam jajaran projek tersebut.

Hal ini telah mendapat perhatian daripada pentadbir tanah mengenai status tanah kediaman mereka sebelum ini. Hasil siasatan dalaman di pejabat tanah juga mendapati bahawa status tanah yang mereka duduki itu terletak di dalam tanah rizab sungai dan dalam lot kepunyaan Perbadanan Aset Keretapi (PAK). 

Mengulas lanjut berhubung isu arahan meroboh kediaman kepada penduduk di tanah rizab kerajaan itu, Nik Raisnan menyifatkan ia berpunca daripada kegagalan penduduk menyelesaikannya dengan pihak pentadbir tanah.


"Masalah bagi pentadbir tanah, apabila duduk atas rizab sungai. Rizab sungai ni memang tak boleh nak bagi hak milik. Rizab kereta api memang dah termaktub dalam Akta Keretapi (Akta 463). Duduk atas rizab jalan pulok pun, memang tak boleh bagi hak milik. Tapi rakyat kita ni...ya lah kerajaan pun sayang ke rakyat ni, jadi kerajaan pun kena tackle lah kes terpencil ini case by case. 

"Sekarang kita dah minta supaya mereka datang ke pejabat buka fail dan saya mohon pegawai pegawai saya mempercepatkan proses pemilikan tanah dan kita buat petak-petak dan kita benarkan mereka bina rumah.” 

Beliau turut menasihatkan kepada seluruh rakyat agar mengambil serius soal peraturan tanah dan pendudukan dengan merujuk kepada pihak yang berkenaan, bukannya disensasikan di media sosial. 

"Dan kita mintalah mana-mana rakyat yang (menghadapi masalah berkaitan) mari jumpa dengan DO, kita cuba bincang macam mana nak selesai. Jangan keluarkan dalam Tik Tok, viral di Facebook. Itu bukan jalan penyelesaian tapi mari tanya (pihak) yang betul."



Post a Comment

0 Comments