Ticker

6/recent/ticker-posts

PROJEK EMPANGAN NENGGIRI BAWA LIMPAHAN EKONOMI

 


Oleh: Zaki Mustafa

NENGGIRI, 28 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan sangat bersyukur dan teruja dengan kejayaan memulakan pembinaan Empangan Nenggiri yang bukan sahaja mampu membekalkan tenaga boleh baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia, bahkan lebih daripada itu, ia turut membawa limpahan ekonomi ke negeri Kelantan dan masyarakat setempat.

“Tetapi yang penting bagi Kerajaan Negeri ialah banyak spillover economy yang akan berlaku. Pertama, Nenggiri dimajukan secara langsung dan tidak langsung melalui adanya pembinaan Empangan Nenggiri,” akui Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr. Izani Husin sebaik selesai melakukan lawatan kerja di tapak projek berkenaan pada Khamis.

Projek Empangan Nenggiri yang bernilai lebih RM5 bilion ini bukan sahaja mampu membekalkan 300 megawatt tenaga elektrik tetapi turut menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan limpahan ekonomi sokongan khususnya di Nenggiri dan Gua Musang.

Selain itu, projek yang telah memulakan kerja pembinaan pada Mac 2022 turut berpotensi membekalkan air bersih, mengurangkan kesan banjir dan memperbaiki sistem pengairan untuk pertanian,  

Komponen projek Empangan Nenggiri akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengatur-Aliran seluas 0.9 kilometer persegi serta satu Empangan Pelana. Ketiga-tiga komponen utama ini turut berpotensi mewujudkan aktiviti ekonomi hiliran seperti akuakultur dan eko-pelancongan.

Tambahan lagi, faktor geografi dan muka bumi Nenggiri yang kelilingi bukit batu kapur serta pelbagai elemen semulajadi flora dan faunanya pasti akan memberikan nilai tambah kepada Empangan Nenggiri ini apabila siap kelak.   

“Sebagai wakil Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada TNB dan TNB Genco yang berjaya memulakan projek ini dan melihat kepada progres yang dilaksanakan insya-Allah kita akan capai kesiapan pembinaan ini pada 2027,” ujar Dr. Izani.

Lawatan kerja sehari itu turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan, YM Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Mohamad Nazwan Ismail.










Post a Comment

0 Comments