Ticker

6/recent/ticker-posts

SUKMA SARAWAK: KELANTAN SASAR TOP 10

Oleh: Maziah Mat

KOTA BHARU, 24 Julai – Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad menyasarkan kontinjen Kelantan akan mencapai pencapaian cemerlang di tangga sepuluh teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak Ogos ini. 

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri untuk memastikan setiap atlet dapat memperbaiki rentak permainan disamping melakukan persiapan terakhir di pusat latihan, kelab atau persatuan masing-masing.

“Untuk rekod pencapaian tahun 2018 dan 2022 kita berada di tangga ke-14 daripada 15, jadi harapan saya pada sesi kali ini kita meletakkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya pada tangga keempat sehingga sepuluh terbaik dan atlet yang mewakili Kelantan nanti diharap menggunakan masa kurang sebulan yang ada untuk meningkatkan latihan sebagai persediaan awal temasya. 

“Insya-Allah jika kita telah berusaha melakukan yang terbaik dan pada masa sama mempunyai keyakinan untuk capai kejayaan, akhirnya kita tidak perlu merasa takut dengan pihak lawan kerana mereka juga manusia sama seperti kita,”katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Penyelarasan Kontinjen Kelantan ke SUKMA XXI Sarawak 2024 di Kota Darul Naim pada Isnin. 

Sementara itu, SUKMA 2024 ini dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan membabitkan sembilan tempat di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri. 

Temasya ini menyaksikan sebanyak 37 jenis sukan akan dipertandingkan dengan 488 acara yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.



Post a Comment

0 Comments