Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 22 Julai - Kebajikan rakyat khasnya untuk wanita terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan.
Usaha itu disambut baik rakan strategiknya Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan (Yayasan Amal) dengan menyediakan sebuah ambulans untuk kemudahan pesakit wanita ke hospital.
Exco Kesihatan YB Hilmi Abdullah mengucapkan tahniah kepada Yayasan Amal atas inisiatif menyediakan khidmat Amal Ambulans (Wanita) yang pertama seumpamanya di Malaysia.
"Perkhidmatan ini memberi kemudahan kesihatan terutamanya untuk memenuhi tuntutan agama demi menjaga kemaslahatan, aurat dan maruah dalam kalangan pesakit wanita," katanya ketika mewakili Menteri Besar merasmikan Pelancaran Amal Ambulans Khusus Wanita di JKR 10, pada Ahad.
Jelasnya, perkhidmatan tersebut ialah satu lagi program kebajikan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan.
"Yayasan ini sebenarnya telah ditubuhkan sejak tahun 2001 dan kini mempunyai lebih 3,000 ahli yang bergerak melalui cawangannya yang ada di seluruh Malaysia.
"Saya sentiasa terlibat dengan Yayasan Amal Malaysia yang amat terkenal dan sinomim dengan program "Dapur Rakyat" setiap kali bencana banjir di Kelantan," ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut YB Hilmi lagi, selain Ambulans Amal (Wanita) tersebut dan penganjuran pelbagai program kebajikan untuk penduduk tempatan, Yayasan Amal Malaysia turut mengadakan misi bantuan ke peringkat antarabangsa antaranya bantuan semasa ke Palestin, menyasarkan agihan 1,00,000 Al-Quran dan membina beberapa buah masjid di Afrika hingga tahun 2025.
"NGO ini juga berjaya melaksanakan program Kurban Amal di Chad, Sudan dan Uganda," jelasnya.
Seterusnya, beliau berharap Yayasan Amal Malaysia (Cawangan Kelantan) dapat mempelbagaikan lagi usaha dalam membantu Kerajaan Negeri Kelantan dalam urusan kebajikan, kesihatan dan kemanusian.
"Semoga semua sukarelawannya diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah SWT atas kerja-kerja kebajikan yang mereka laksanakan," katanya.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Cawangan Kelantan), Dato' Sr Mohd Apandi Mohamad, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Rohani Ibrahim, Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato' Mumtaz Md Nawi.
0 Comments