GUA MUSANG: Gelombang Selamatkan Malaysia turut melanda Limau Kasturi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos ini.
Program tersebut tetap mendapat sambutan menggalakkan penduduk tempatan biarpun diadakan di kawasan jauh di pedalaman. Kelihatan ramai anak muda hadir.
Program tersebut sebagai permulaan gerak kerja Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRK tersebut susulan kekosongan Dun Nenggiri berikutan bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti.
Hadir sama Timbalan Mursyidul Am Datuk Bentara kanan Ustaz Ahmad Yakob, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor dan Setiausaha PAS negeri Wan Roslan Wan Hamat.
Annuar yang Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri berkata, PRK Nenggiri bukan sekadar pilihan raya kecil, sebaliknya ia sesuatu yang cukup besar bagi rakyat Gua Musang bagi meluah tidak senang terhadap kenaikan kos sara hidup sekarang.
Kata beliau PRK tersebut sebenarnya bukan sekadar pertembungan antara calon PN dan Umno sahaja, sebaliknya masa depan orang Melayu dan Islam di negara ini.
Katanya juga setakat ini sejarah PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-15 memperlihatkan undi orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) semakin meningkat.
"PRK Kuala Terengganu, Kemaman dan terakhir di Sungai Bakap undi orang Melayu kepada PAS dan PN makin meningkat dengan ketara," katanya pada ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia bagi pertahan Nenggiri.
Menurutnya juga Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang pernah mencatat sejarah parti terbesar Melayu di negara ini dipecahkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mahu mewujudkan jajaran baru dengan PKR dan DAP.
"Kita telah menyiap Piagam Muafakat Ummah, namun ia tidak dapat diteruskan kerana Presiden Umno menolak kerjasama Bersatu dan PAS kerana mahu membentuk jajaran baru bersama PKR dan DAP," katanya.
Sebelum itu Ustaz Ahmad berkata, sebelum ini ada pihak menganggap Kerajaan PAS hanya bertahan hanya tiga bulan di Kelantan namun andaian itu ternyata meleset.
Kata beliau sehingga PAS dan PN berjaya mempertahankan Kelantan biarpun berdepan dengan jalinan kerjasama Umno-DAP dan PKR.
0 Comments