Ticker

6/recent/ticker-posts

24 KAWASAN DI BACHOK MENDAPAT BEKALAN AIR BERSIH DARI LRA JELAWAT

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

BACHOK, 29 Ogos – Sebanyak 24 kawasan dalam jajahan Bachok menerima manfaat daripada Loji Rawatan Air Mini (LRA) Jelawat yang beroperasi sepenuhnya bermula hari ini.

Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM5.9 juta bagi pembinaan loji tersebut.

“Alhamdulillah, kita harap agar LRA Jelawat ini dapat beroperasi dengan baik dalam membekalkan air yang berkualiti dan sentiasa memenuhi keperluan pengguna.

“Objektif pembinaan LRA Jelawat ini adalah prasarana bekalan air yang berkualiti dan berkuantiti serta menepati piawaian yang ditetapkan.

“LRA Jelawat ini juga boleh menampung pertambahan pengguna yang meningkat sebanyak empat peratus setahun," katanya pada Majlis Perasmian LRA Jelawat hari ini.

Loji yang berkapasiti empat juta liter sehari ini dapat membekalkan air terawat kepada kira-kira 1,500 akaun pengguna di kawasan Gunong, Pekan Jelawat, Bandar Baharu Jelawat, Alor Bakat, Mahligai, Temalong, Taman Megah Edora, Perumahan Kandis, Jalan Beris Lalang, Kampung Aman, Melawi, Universiti Malaysia Bachok (UMK), Kampung Bator, Kampung Bukit Chenda, Kampung Tok Enggoh, Kampung Kubang Badak, Kampung Seneng, Kampung Gelong Badak, Kampung Padang Pak Amin, Kampung Alor Ganu, Kampung Alor Pulai, Kampung Kubang Keladi, Kampung Teratak Pulai dan Kampung Rekang Hulu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bachok, YB Mohd Syahir Che Sulaiman, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (MMK), Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Saizol Ismail, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Wan Husni Wan Osman dan Pengurus Besar Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), Izani Ismail.




Post a Comment

0 Comments