Oleh ARUS LEBIR
BANYAK kenyataan menggambarkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 21 hingga 24 Ogos lepas berbeza berbanding PAU sebelum itu. Toniknya kerana kejayaan Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri 17 Ogos lepas.
Hakikat itu turut diakui bekas Naib Presiden Umno Ismail Sabri. Katanya, PAU yang baru berlalu nampak ceria. Alasannya sebagai menyambut kemenangan besar di Nenggiri.
“Memang ramai lihat Umno menjadi makin kuat. Namun sekarang kita bercakap kalau hendak menang kena dapat sokongan nonMalay, maknanya Umno sudah tidak relevan.
“Kita menang di Dun Pelangai, Nenggiri. Saya harap Umno dapat bangkit selepas itu. Namun, dalam dalam parti sendiri pun berpecah belah,” katanya pada Podcast Keluar Sekejap (KS) semalam.
Segmen KS itu dihoskan bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Ismail yang disebut sebagai Datuk Mail oleh Shahril juga berkata, penyatuan orang Melayu masih berharapkan Umno.
“Kita harap presiden kalau mahu bentuk penyatuan, mereka yang dipecat, digantung tidak perlu buat surat rayuan, terus terima masuk semula dalam Umno.
“Isunya kalau itu lah yang dikehendaki oleh presiden Umno,” katanya seperti meluah perasaan kecewa.
Pada bicara hampir dua jam itu bekas Perdana Menteri Keluarga Malaysia itu memberitahu tidak nampak alternatif kepada Umno yang ada sekarang.
Lagi pun kata beliau Gerakan, MIC, MCA menang kerana bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Melayu pilih PN
“Umno tidak akan kita menang kalau bertanding di kawasan campuran. Namun sekarang di kawasan ramai Melayu Perikatan Nasional (PN) yang menang,” ujarnya.
Beliau turut mengakui bapanya berasal dari Kelantan. Datuknya membuka pondok di Temerloh selepas berhijrah dari Serambi Mekah.
Pada slot itu Ismail meluahkan kecewa dengan layanan segelintir pemimpin Umno yang menjauhinya ketika dilantik sebagai menteri kanan pada Mac 2020 dan Perdana Menteri Ogos 2021.
Beliau mengakui bernasib baik dilantik sebagai Menteri Kanan oleh Muhyiddin Yassin. Kemudian dihadiah pula kerusi perdana menteri.
“Muhyiddin memberitahu Zahid Hamidi tidak dilantik sebagai menteri kanan kerana kesnya di mahkamah. Bukan kerana isu lain,” ujarnya.
Ternyata kehadiran Ismail bersama kabinet Muhyiddin menyebabkan wujud dua kem dalam Umno, iaitu kem Putrajaya dan kem PWTC.
Cukup menarik apa yang didedahkan Ismail. Biar pun dilantik sebagai Perdana Menteri, namun Ismail masih menghormati Zahid sebagai presiden Umno.
Bubar parlimen
Menurutnya juga beliau didesak bertubi-tubi supaya membubarkan parlimen. Desakan itu begitu hebat sehingga Ismail mengakui akur kehendak Zahid. Hari ini Ismail terpelanting ke Bera dan Zahid pula ke Putrajaya.
Persoalannya, benarkah PAU yang baru berlalu menggambarkan Umno sudah bangkit. Alasannya kerana menang besar di Nenggiri. Analisis kemenangan Umno turut dikongsi ramai pemerhati politik termasuk Afifi Abdul Razak.
Katanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 BN hanya mendapat sokongan 44 peratus pengundi Melayu. Namun, pada PRK Nenggeri sokongan Melayu kepada BN meningkat kepada 59 peratus.
“Ini biasa terjadi dalam beberapa PRK di Kelantan. Contoh PRK Semerak pada 1997 calon BN Kamarudin Md Nor menang, namun pada PRU-10, calon PAS pula menang.
“Begitu juga PRK Pengkalan Pasir pada 2005, calon BN Hanafi Mamat menang, namun pada PRU 2008 calon PAS Hanifa Ahmad pula menang.
“Begitu juga PRK Pengkalan Kubor pada 2014, calon BN Mat Razi Mat Ail menang, namun pada PRU 2018 calon PAS Wan Roslan Wan Hamat pula menang,” ujarnya pada kenyataan di sebuah akhbar.
3M
Isunya mengapa situasi begitu berlaku. Teorinya agak mudah. Parti yang menguasai kerajaan Pusat mempunyai banyak kelebihan ketika PRK. Kerajaan Pusat menguasai ‘machinery, money dan media’ (3M).
Biar pun calon PN juga mempunyai jentera kerajaan negeri, namun pemimpin PAS dan PN akur kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya. Menteri Besar Ustaz Mohd Nassuruddin Daud melarang jentera kerajaan digunakan ketika kempen pilihan raya.
Jelas kelebihan ada calon BN, Azmawi Fitri kerana bantuan 3M. Buktinya dapat dilihat dengan jelas apabila kenderaan agensi kerajaan Pusat ditampal pita pada bahagian tulisan di badan kenderaan.
Dewan orang ramai di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tanpa segan silu diletak bendera dacing. Begitu juga dewan kominiti RKT Kesedar di Jeram Tekoh dan Renok Baru juga digantung bendera dacing.
Itu belum lagi cerita pengundi atas pagar menjadi orang kaya baru dalam sekelip mata. Ada keluarga diberitahu penduduk di Nenggiri mendapat habuan sehingga RM2,000.
Begitu juga pengundi Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman. Mereka bukan sekadar mendapat wang segera sebaliknya hamper pelbagai jenis.
Maka betul lah seperti digambarkan Afifi dan ramai lagi pemerhati politik lain. Situasi itu juga dikesan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani.
“Terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa kemenangan (Nenggiri) adalah petunjuk jelas kembalinya sokongan orang Melayu kepada Umno di seluruh Kelantan, apatah lagi di seluruh negara,” katanya di pentas PAU.
Inilah realitinya. Tidak boleh disalahkan sepenuhnya orang kampung di Nenggiri. Mereka dihadiah umpan segera ketika harga barang mencanak naik.
Maknanya umpan ditangkap kail pun mengena.
0 Comments