Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
KOTA DARULNAIM, 8 Ogos -Kesemua 48 kelulusan pembangunan ladang di Kelantan adalah mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan termasuklah mematuhi syarat Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang merupakan salah satu keperluan wajib.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan, jumlah kelulusan yang didakwa oleh Ahli Dewan Negeri Galas sebelum ini iaitu sebanyak 54 adalah tidak tepat, malah proses kelulusan tersebut juga bukannya baharu.
"Istilah penggunaan penerokaan hutan itu satu istilah yang tidak betul. Kalau 54 kelulusan pun juga tidak betul.
"Sebenarnya ada 48 kelulusan. Kalau dia (ADN Galas) kata kelulusan baharu, pun tidak betul.
"Ini kelulusan lama. Maklumat yang dia peroleh itu dari EIA.
"Maknanya ia melalui proses yang betul dan telah mengikut peraturan. Bukan semua melibatkan kawasan Nenggiri," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.
Beliau yang juga ADN Temangan itu berkata, pihaknya memilih syarikat-syarikat yang berwibawa dan mampu untuk melaksanakan projek berkenaan serta diberikan kelulusan mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan.
Jelasnya, proses pembangunan ladang tidak boleh diistilahkan sebagai teroka secara haram dan proses tersebut sememangnya memerlukan kelulusan daripada EIA.
"Pembangunan ladang ini memang memerlukan kelulusan EIA.
"Sebab itu apabila kita tanya EIA, memang ada kelulusan dan ia adalah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Ini menunjukkan bahawa kelulusan tersebut adalah melalui proses yang betul," katanya.
Ujar beliau, bagi mendapatkan kelulusan sesuatu projek pembangunan ladang tidak semudah yang didakwa sesetengah pihak kerana ia perlu disemak dan dirujuk secara terperinci dengan proses yang begitu rumit.
Tambahnya, setakat ini Kerajaan Negeri Kelantan telah menerima hampir 85,000 permohonan daripada rakyat negeri ini membabitkan projek pembangunan ladang.
Terdahulu, media melaporkan ADN Galas merangkap Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), YB Mohd Syahbuddin Hashim mendakwa terdapat 54 kelulusan penerokaan hutan yang diluluskan Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 2022 membabitkan kawasan Nenggiri.
0 Comments