Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan mengisytiharkan Khamis (19 Mac) sebagai cuti hari kelepasan am
sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang rakyat Kelantan membuat persiapan menyambut hari lebaran.
Katanya, cuti itu juga diberi dengan tujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk menjadikan hari Khamis, 29 Ramadan 1447 bersamaan 19 Mac 2026 sebagai Cuti Hari Kelepasan Am bagi seluruh negeri Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Langkah ini bagi memberi laluan kepada persiapan menyambut hari lebaran serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya pada kenyataan hari ini.
Oleh itu beliau berharap cuti berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Tambahnya, peluang tersebut wajar digunakan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menikmati suasana Aidilfitri bersama insan tersayang.
Pada masa sama beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Kelantan serta memohon maaf zahir dan batin.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya.

0 Comments