JKM pantau lebih 300 pusat jagaan kanak-kanak

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap lebih 300 pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar di negeri ini.

Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pemeriksaan itu turut melibatkan semakan terhadap kelayakan tenaga pengasuh yang digaji pengusaha premis asuhan.

Beliau berkata, setiap pengusaha yang ingin mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak diwajibkan memastikan pengasuh mereka memiliki sijil Kursus Asuhan Permata (KAP).

“Mana-mana majikan yang ingin mengoperasikan premis asuhan kanak-kanak perlu memastikan pengasuh mempunyai kursus KAP.

“Sekiranya syarat itu tidak dipenuhi, JKM tidak akan mengeluarkan lesen untuk operasi premis berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Yayasan Petronas di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat lebih 300 pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar di bawah JKM Kelantan dan pemantauan dilakukan sama ada secara berkala atau pemeriksaan mengejut sekiranya berlaku sesuatu kes.

Katanya, setakat ini belum ada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku melibatkan pusat jagaan kanak-kanak di Kelantan.

Che Samsuzuki berkata, proses pengambilan tenaga pengasuh juga disemak melalui Sistem Anak JKM bagi memastikan keselamatan serta kualiti penjagaan kanak-kanak.

“Menerusi sistem itu kita dapat meneliti latar belakang individu termasuk sama ada mempunyai rekod jenayah atau masalah kesihatan.

“Tapisan penting bagi memastikan individu yang terlibat dalam bidang penjagaan kanak-kanak benar-benar sesuai dan tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments