Ticker

6/recent/ticker-posts

Agenda calon PN selesai hak milik tanah rakyat



GUA MUSANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail memberi komitmen tinggi membantu mempercepatkan pemberian hak milik lot kediaman dan kebun kepada peneroka Kesedar.

Katanya ia membabitkan Kesedar Jeram Tekoh, Limau Kasturi, Sungai Asap, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Ladang Sungai Terah, Renok Baru dan Meranto. 

Kata beliau tumpuan tersebut diberi kepada peneroka RPT dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) serta peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan Rantau Manis. 

“Dalam masa yang sama, saya akan membantu mempercepatkan pemberian hak milik tanah tapak kediaman untuk 580 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan Rantau Manis. 

“Saya juga akan memperjuangkan pemberian hak milik tanah lot kediaman untuk generasi kedua di RKT dan RPT,” katanya ketika mengumumkan tawaran PN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri di Markas Tarbiah Renok Baru malam tadi. 

Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengarah Operasi PRK Nenggiri Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Nor; Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan. 

Rizwadi juga berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu penduduk di kampung tradisi yang didapati bertindih dengan kawasan hutan simpan kekal di Kampung Atas Bukit dan Kampung Kuala Lah.

Kata beliau juga komitmen kerajaan negeri menyediakan 20 tapak rumah bagi memindahkan penduduk yang terbabit projek pembinaan jalan di Bertam Baru diharap dapat menjaga kebajikan mereka.  

Selain itu Rizwadi akan melantik pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat dalam kalangan Orang Asli bagi membantu menangani masalah masyarakat terbabit.


“Begitu juga usaha menaik taraf jalan-jalan ke perkampungan Orang Asli dan menubuh Pasukan Khas Pendidikan Orang Asli Nenggiri serta menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya. 

Sementara itu Annuar berkata, petanda-petanda PN berada dalam keadaan baik dapat dilihat apabila pihak lawan berada dalam keadaan gelabah dan kelam kabut. 

Katanya PN akan capai kemenangan yang besar dan gemilang pada Sabtu ini. 

“Kita dapat mendengar permasalahan rakyat yang lebih dekat dengan adanya PRK kali ini. Lebih 40 tahun Nenggiri diberi mandat kepada BN tetapi hari ini dapat menyaksikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.

“Kalau kita pergi ke Felda Perasu kita akan dengar keluhan rakyat terutamanya generasi kedua Felda termasuk yang berdepan disekat untuk mendapat bekalan elektrik,” ujarnya.

Menurutnya juga masalah lebih banyak lagi kalau ditinjau di kawasan RKT Kesedar termasuk pemilikan tanah oleh peneroka.

Kata beliau di RKT Jeram Tekoh hanya ada 22 peneroka yang mendapat lot hak milik rumah.

Post a Comment

0 Comments