Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos – Pemain industri pertanian Kelantan dan pengunjung Ekspo Tani Kelantan 2024 dipelawa menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA2024) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Exco Pertanian YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata penganjuran Ekspo Tani Kelantan 2024 oleh Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya menjadikan medan tersebut sebagai ruang untuk mempromosi ulang tahun ke -100 MAHA2024 yang bakal berlangsung pada 11 hingga 22 September depan.
“Jelas kehangatan menjelang 100 tahun MAHA2024 kian terasa dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua masyarakat untuk memeriahkan MAHA2024 khususnya di Pavillion Rumah Kelantan pada September nanti,” ujarnya dalam perasmian penutup Ekspo Tani Kelantan 2024 pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau melahirkan kesyukuran dan berpuas hati atas penganjuran Ekspo Tani Kelantan 2024 selama empat hari bermula pada 7 hingga 10 Ogos lalu di Bandar Baru Pasir Mas yang mendapat sambutan hangat.
“Terima kasih kita ucapkan kepada urus setia program Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd bersama rakan startegik yang lain yang berjaya menjadikan karnival tani dwi tahunan ini sebagai medium penyebaran ilmu dan peluang pengembangan industri pertanian di Kelantan
“Kita harap usahawan tani dan agro makanan Kelantan menjadi antara 150 syarikat yang disasarkan agar menjadi saingan sihat kepada peserta MAHA dari seluruh dunia yang menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
0 Comments