Ticker

6/recent/ticker-posts

Bendera PAS berkibar megah di Pos Simpor

GUA MUSANG: Pos Simpor didiami lebih 550 penduduk Orang Asli. Lokasi itu mengambil masa perjalanan tiga jam dari bandar Gua Musang. 

Namun, sekiranya hujan, perjalanan boleh melewati sehingga lima jam.

Penduduk terpaksa meredah jalan balak untuk keluar ke bandar Gua Musang atau Kuala Betis. 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas PAS hanya mendapat 10 undi di dua saluran Unit Daerah Mengundi Simpor.

Namun, sekarang sudah berbeza jauh. Penduduk Orang Asli mulai mengenali PAS dengan lebih dekat kerana ada petugas kempen PAS dan PN berkampung di penempatan tersebut.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri Kuala Balah Abdul Rahim Muhammad berkata, dua petugas tetap berkampung di pos tersebut sejak beberapa minggu lepas.

Selain itu katanya 10 lagi petugas sokongan yang datang secara bergilir-gilir ke penempatan tersebut.

“Antaranya pasukan bantu daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah bersama PAS DUN Kuala Balah dan DUN Air Lanas.

“Manakala PAS DUN Bukit Bunga berkampung di Pos Gob yang terletak 5 jam perjalanan dari Gua Musang kalau tidak hujan.

“Sepanjang kami berada di sini sambutan penduduk tempatan begitu menggalakkan sekali. Mereka keluar beramai-ramai menyertai pelbagai program yang diatur,” katanya di sini.

Menurutnya golongan wanita datang memasak bagi jamuan penduduk yang datang. 

Kata beliau petugas kempen juga dapat merasai pengalaman memecahkan padi bukit dengan lesung besar untuk menghasilkan beras. Selepas itu kaum wanita Orang Asli akan mengasingkan padi dan antah.

Pos Simpor turut dikunjungi ramai pemimpin PAS dan PN termasuk Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Adun Kuala Balah Dato’ Abdul Hadi Kechil. 

Abdul Rahim juga berkata, anak-anak muda pula setiap petang datang bermain sepak takraw yang menjadi kegemaran mereka berhampiran markas PAS.

“Kami juga menganjurkan pertandingan sepak takraw golongan belia dan wanita pula bertanding siapa cepat mengisar ubi kayu. Pemenang diberi hadiah,” katanya.

Kata beliau juga bendera bulan jarang terpacak di Pos Simpor sebelum ini, namun sekarang cukup meriah kerana dipasang sendiri belia Orang Asli.

“Mereka juga tidak segan silu melaungkan undi bulan pada setiap program yang dianjurkan. Terdapat markas PAS di Pos Simpor yang dibina sendiri penduduk tempatan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments