KOTA BHARU: Sehingga
sekarang lebih 84 peratus manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilaksanakan
kerajaan negeri, tidak sampai tiga tahun pentadbirannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen bagi memastikan segala janji kepada rakyat dilaksanakan sebaik mungkin.
Menurutnya, pencapaian tersebut diperoleh hasil penelitian menerusi mesyuarat yang melibatkan semua portfolio Exco termasuk Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.
“Sehingga kini pencapaian manifesto sudah melebihi 84 peratus dalam tempoh kira-kira tiga tahun di semua peringkat portfolio.
“Manifesto biasanya dilaksanakan dalam satu penggal pentadbiran iaitu sekitar empat hingga lima tahun, namun kali ini kemajuan yang dicapai lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas majlis Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama media di sini malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Exco yang juga Adun Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah dan wakil-wakil media tempatan.
Bagaimanapun Mohd Asri berkata, terdapat beberapa inisiatif di bawah portfolio tertentu yang mencapai tahap pelaksanaan sehingga 100 peratus.
Kata beliau kerajaan negeri sentiasa memastikan setiap perkara yang dijanjikan kepada rakyat dapat ditunaikan sepenuhnya walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Mesyuarat di peringkat kepimpinan meneliti perkembangan manifesto dari semasa ke semasa bagi memastikan segala janji kepada rakyat benar-benar dilaksanakan,” katanya.



0 Comments