Program Kongsi Rasa Ramadan 4.0 edar onde-onde di empat DUN


Oleh: Syamimi Manah | Foto: Media ADN

TUMPAT, 9 Mac – Semangat kebersamaan dan budaya berkongsi rezeki pada bulan Ramadan terus disemarakkan apabila 700 pek kuih onde-onde diagihkan kepada masyarakat di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Program Kongsi Rasa Ramadan 4.0, yang berlangsung sempena Perkampungan Ramadan di Laman Warisan Seni Kampung Laut, Sabtu lalu.

Agihan juadah tradisional itu melibatkan DUN Pengkalan Kubor, Kelaboran, Pasir Pekan dan Wakaf Bharu, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat serta pengguna jalan raya menikmati juadah berbuka puasa secara percuma.


Program tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat; ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah, ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan serta wakil ADN Pasir Pekan Muhamad Ikhwanuddin Jamaluddin, yang menyampaikan agihan di lokasi masing-masing bermula pukul 5 petang.

Menurut Dato’ Wan Roslan, program berkenaan menjadi antara inisiatif bagi menyemarakkan kemuliaan Ramadan melalui perkongsian juadah berbuka puasa bersama masyarakat.

"Program ini dilaksanakan bagi menyahut seruan agama bahawa setiap amalan di bulan Ramadan digandakan pahala di sisi Allah SWT. 

“Sebanyak 700 pek onde-onde berjaya diagihkan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya di empat DUN yang terlibat. Program ini juga merupakan usaha untuk menyemarakkan lagi kemuliaan Ramadan dengan berkongsi juadah berbuka kepada masyarakat,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.


Beliau turut memaklumkan bahawa juadah tradisional tersebut disediakan secara bergotong-royong oleh para petugas bermula seawal pukul 9 pagi sebelum diagihkan kepada orang ramai di sekitar Tumpat pada waktu petang.

Program tahunan anjuran Majlis Daerah Tumpat (MDT) itu turut mendapat kerjasama Masjid Kampung Laut, Majlis Perundingan Wanita Parlimen Tumpat, Persatuan Hawanis Aspirasi Tumpat, Persatuan Anak Muda Tumpat serta Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, Kelaboran, Pasir Pekan dan Wakaf Bharu.

Dalam pada itu, Dato’ Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih kepada semua petugas, beliawanis, penghulu, ahli jawatankuasa masjid, Pusat Khidmat DUN serta semua pihak yang bergotong-royong menjayakan program ini. Semoga perkongsian kecil ini membawa kegembiraan dan keberkatan kepada masyarakat, di samping mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita,” katanya.

Post a Comment

0 Comments