Ticker

6/recent/ticker-posts

Generasi kedua tersisih di RKT Kesedar, Felda


GUA MUSANG: Jarang kita dengar cerita rumah yang sudah lama siap, namun permohonan untuk menyambung bekalan elektrik tidak dilayan.

Namun, itulah yang berlaku di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar dan Felda di Dun Nenggiri.

Di RKT Jeram Tekoh terdapat empat rumah penduduk yang dibina generasi kedua tidak disambung bekalan elektrik biar permohonan dibuat kepada pengurusan Kesedar. 

Kesukaran yang dihadapi tersebut menyebabkan mereka terpaksa memasang panel solar dan membuat sambungan dari rumah berdekatan. 

Malah ada yang terpaksa membeli generator bagi menjana kuasa elektrik memandangkan permohonan mendapat bekalan elektrik daripada TNB tidak dilulus tanpa sokongan pengurusan Felda.

Di Felda Perasu bekas guru Marlida Mat Dan, 40 terpaksa menggunakan generator dan panel solar bagi menjana tenaga elektrik.

Katanya, beliau menduduki rumah tersebut di Felda Perasu sejak dua tahun lalu selepas kembali ke kampung untuk menjaga ibu bapanya.

“Saya membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk membeli generator tersebut selepas hak untuk mendapatkan bekalan elektrik seperti dinafikan.

“Saya sudah puas turun naik pejabat Felda bagi mendapat sokongan untuk membolehkan bekalan elektrik disambung ke rumah saya.

“Talian elektrik hanya di hadapan rumah saya, namun sehingga sekarang usaha untuk mendapat bekalan elektrik masih gagal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Rumah Marlida terletak di tepi jalan utama dan tidak jauh dari Masjid Perasu. Di tepinya terdapat kolam ikan yang diusahakan bapanya Mat Dan Harun, 80.

Rumah tersebut dibina dengan kos lebih RM300,000 terletak di kawasan agak berbukit.


Dapat kebenaran 

"Tanah ini sebenarnya masa itu tiada hak milik siapa-siapa, cuma ayah saya gali kolam ternak ikan, pengurusan Felda sebelum ini beri kebenaran saya bina rumah di sini. 

“Begitu juga Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. Cuma sekarang kes tanah ini dalam siasatan SPRM sebab khabarnya ada kes pihak tertentu jual tanah sesuka hati," katanya.

Menurutnya juga beliau terpaksa membelanjakan sebanyak RM1,500 setiap bulan untuk membeli diesel dan petrol untuk menjana elektrik.


"Harapan saya nak elektrik sahaja, jadi minta pengurusan Felda mari tengok apa kesusahan saya sebagai anak generasi kedua Felda.

“Saya terpaksa angkat tong sendiri biar pun sebelum ini pernah diserang mini strok, nak dapat diesel pula bukan mudah sekarang. Sehingga sekarang pengurusan Felda tidak memberi sebarang jawapan,” ujarnya. 

Sebelum ini Marlida berkhidmat sebagai guru di Johor. Suaminya Md Zainudin Abdullah, 43 bersama tiga anak masih menetap di Johor kerana rumah yang di Perasu tiada bekalan elektrik.

Oleh itu beliau merayu pihak terbabit menyelesaikan masalah tersebut segera kerana ia sudah berlarutan sejak dua tahun lepas.



Post a Comment

0 Comments