Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 25 Oktober 2025 – Anak jati Kota Bharu yang terkenal dengan sifat cintakan kebersihan, saudara Nik Ahmad Kaysfi atau lebih mesra sebagai Kay, menerima Penghargaan Khas Rakan Alam Sekitar (Kluster Komuniti) sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.
Beliau bukan sahaja aktif dalam aktiviti kebersihan, malah terkenal dengan fasih bertutur bahasa Jepun dan kerap memakai kostum tradisional Jepun ketika mengutip sampah telah menjadikan usaha sukarelawannya menarik perhatian masyarakat.
Kay menggunakan platform digital untuk menyemai kesedaran awam tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Usaha beliau yang konsisten di sekitar Kota Bharu dan lokasi tumpuan awam lain di Kelantan telah menarik perhatian Kerajaan Negeri Kelantan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan YB Hilmi Abdullah, menyampaikan ucapan tahniah dan mengiktiraf usaha Kay Chanel sebagai teladan yang patut dicontohi oleh golongan muda.
"Kerajaan Negeri amat menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh saudara Kaysfi dalam mendidik masyarakat melalui pendekatan kreatif dan positif di media sosial.
"Usaha beliau mengadakan kempen kebersihan secara berterusan termasuk melalui platform live (siaran lagsung) ketika mengutip sampah di sekitar Kota Bharu adalah contoh terbaik aktivisme anak muda masa kini,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial rasminya, hari ini.
Tambah beliau, tindakan Kay yang menegur masyarakat secara berhemah telah berjaya menarik minat lebih ramai rakyat Kelantan untuk mencontohi amalan menjaga kebersihan.
"Lebih menarik, aktiviti sukarelawan beliau bukan sekadar membersihkan kawasan fizikal, tetapi turut menyemai semangat tanggungjawab terhadap kebersihan awam dalam kalangan masyarakat,” katanya.
YB Hilmi menyeru lebih ramai anak muda tampil menjadi ejen perubahan dengan menghasilkan kandungan media sosial yang menyeru ke arah kebaikan dan penjagaan alam sekitar.
"Marilah kita bersama-sama melipat gandakan usaha menjaga kehijauan dan kelestarian alam sekitar ke arah menjadikan Kelantan sebagai negeri yang Bersih, Indah dan Ceria, selaras dengan moto Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera,” ujarnya.

0 Comments