Oleh Norzana Razaly
GUA MUSANG, 5 Ogos - Demam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sudah ketara bahangnya sebaik sahaja proses penamaan calon di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang selesai.
Rentetan itu, Exco Pelancongan YB Datuk Kamarudin Md Nor mempelawa masyarakat dari seluruh Malaysia dan warga negara jiran untuk berkunjung ke Gua Musang sempena PRK Dewan Negeri Nenggiri pada 17 Ogos nanti.
Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan itu, pelawaannya berikutan perubahan ketara yang berlaku di bandar itu sejak tahun 1990-an dan memuncak pada tahun 2020.
"Para pelancong dalam dan luar negara patut melihat sendiri perubahan dan pembangunan yang pesat di Gua Musang.
"Sebabnya jajahan di selatan Kelantan ini kalau dulu hanya dikenali sebagai lokasi sejarah penentangan komunis oleh pejuang negara.
Sekarang, ia sudah jadi sebuah destinasi yang menarik, bukan sahaja untuk tujuan ekopelancongan tetapi juga untuk melihat perkembangan dan kemajuan infrastruktur serta kemudahan yang telah dibangunkan sejak beberapa dekad yang lalu," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon PRK Nenggiri di perkarangan Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.
Katanya lagi, pengunjung boleh mengambil peluang tiga dalam satu - melawat Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 sambil merasai sendiri kehangatan kempen PRK Nenggiri dan berbelanja sempena musim buah-buahan.
"Sempena demam PRK Nenggiri, saya seru orang Malaysia dan warga negara jiran terdekat silalah ke mari sepanjang tempoh dua minggu ini untuk melihat perkembangan kemajuan bandar Gua Musang yang semakin hari makin rancak membangun sekarang.
"Bandar Utama Gua Musang di jalan Gua Musang-Kuala Krai kini pesat membangun sedangkan lokasi ini dulu ialah estet getah.
"Pada tahun 2010, Almarhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Aziz telah merasmikan bandar utama yang dimajukan oleh syarikat dari Johor.
"Ada juga pembangunan bercampur yang giat dilaksanakan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan kerjasama syarikat swasta lain.
"Saya beritahu awal-awal, supaya pengunjung yang lama tak ke sini tidak terkejut melihat wajah baharu Gua Musang sekarang yang ada 19 destinasi ekopelancongan merangkumi taman negara dan perkampungan orang asli, gua dan gunung serta sungai dan jeram.
Lawatan boleh bermula di Muse Ecopark," jelasnya.
Tambah menarik, katanya, pelancong dari Singapura dan Pantai Barat Malaysia boleh datang ke sini dengan menaiki kereta api, yang menawarkan pengalaman perjalanan yang unik dan menyenangkan.
"Sekarang musim buah-buahan terutama durian. Harganya sangat berpatutan. Jika bernasib baik boleh terus makan di dusun.
"Di samping itu pengunjung boleh juga ke Taman Negara atau ke kawasan Tanah Tinggi Lojing untuk menikmati udara segar dan nyaman di samping melihat bunga Rafflesia," ujarnya.
0 Comments