Ticker

6/recent/ticker-posts

JOM MERIAHKAN KLATE NGOSEK – EXCO PELANCONGAN


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 18 Ogos - Exco Pelancongan YB Datuk Kamarudin Md Nor mempelawa seluruh rakyat Kelantan dan anak Kelantan di perantauan memeriahkan program Kelantan Showcase 2024 "Klate Ngosek 2.0" di Medan MARA, Kuala Lumpur pada 27 hingga 30 Ogos depan.

Katanya, program anjuran Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC) dengan Kerjasama MARA itu bakal menawarkan pelbagai produk barangan Kelantan serta pakej pelancongan ke Kelantan. 

“Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan negeri Kelantan sepanjang acara berlangsung,” jelasnya.

Pada perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pihaknya terus gigih berusaha mempromosi Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam Kebudayaan dan Penyampaian Trofi Perlawanan Sukan Muhibbah Malaysia - Thailand 2024 di Hotel Genting, Daerah Sungai Golok, Narathiwat pada Jumaat.

“Penganjuran pertandingan sukan muhibbah ini melibatkan 125 penggiat industri pelancongan dari Malaysia. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Gabenor Narathiwat, Trakul Thotham. 

“Kita berterima kasih dan berbesar hati menerima undangan pihak Thailand dan melihat acara sebegini amat berpotensi dalam mengeratkan persaudaraan antara negara berjiran. Acara ini juga menjadi platform untuk kita mempromosi Tahun Melawat Kelantan 2024 kepada serantau,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berharap penganjuran acara seperti itu akan terus memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand serta mempergiatkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan kebudayaan Asia Tenggara.




Post a Comment

0 Comments