Ticker

6/recent/ticker-posts

KARNIVAL SAINS NEGARA BERMULA ESOK


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 16 Ogos – Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Kelantan bermula esok 17 dan 18 Ogos di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji Kota Bharu. 

Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Wan Roslan Wan Hamat mempelawa seluruh rakyat Kelantan memeriahkan program yang akan berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Katanya, karnival sains ini penting bagi pelajar dan mahasiswa serta menarik untuk orang awam khasnya ibu bapa sertai kerana program seumpama ini dapat mendekatkan kita kepada Allah SWT.

“Sains dan al-Quran saling menguatkan pemahaman kita terhadap kebesaran Allah SWT kerana ada benda yang Allah SWT sebut di dalam al-Quran secara umum dapat menambah keyakinan kita apabila dikaji oleh saintis.

“Contoh mudah ialah Allah ciptakan air sebagai asal usul kehidupan. Semua makhluk hidup diciptakan Allah daripada sel. Dalam surah Al-Anbiya’ ayat 30 Allah berfirman, “…Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air, maka mengapa mereka tidak beriman?”

“Sedangkan kita baru tahu kebanyakan kandungan sel terdiri daripada air apabila fakta ini ditemui oleh saintis hanya selepas penciptaan mikroskop,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.


Karnival anjuran Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM) Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan itu juga mempelawa hadirin menerokai dunia sains, teknologi, dan inovasi yang menakjubkan melalui aktiviti menarik seperti cerapan matahari, cabaran robotik, demonstrasi sains, mini planetarium dan kuiz sains. 

Para pengunjung boleh mencari lokasi melalui capaian https://maps.app.goo.gl/coownU1fixwGehtU7 Manakala maklumat lanjut pula boleh didapati melalui pautan https://msn2024.kigsb.com.my









Post a Comment

0 Comments