Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
GUA MUSANG, 16 Ogos - Pempengaruh media sosial, Wan Mahussin Wan Zain bakal berdepan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membuat hantaran palsu yang mengandungi kenyataan berkaitan Menteri Besar Kelantan berkaitan isu penebangan hutan.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed menyatakan bahawa tindakan perlu diambil kerana hantaran tersebut bukan sahaja memburukkan imej kerajaan Kelantan tetapi juga didakwa menyebarkan maklumat palsu kepada rakyat, terutamanya di Kelantan.
"Beliau didapati dengan sengaja memotong ucapan asal yang berbunyi 'Kerajaan Kelantan tidak pernah menebang hutan melebihi kuota yang dibenarkan Majlis Perhutanan Negara' kepada 'Kerajaan Kelantan pernah menebang hutan melebihi kuota yang dibenarkan Majlis Perhutanan Negara'.
"Dan beliau juga memasukkan kapsyen ringkas 'Menteri Besar Akhirnya Mengaku' dalam kandungan video terbabit.
"Perlu ada tindakan dan beliau ini membuat hantaran sebegitu semata-mata untuk berkempen bagi menarik pengundi-pengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri (PRK Nenggiri) supaya tidak menyokong parti guna logo bulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang (IPD Gua Musang) pada Khamis.
Menerusi satu kenyataan, Mohamad Kamal menyifatkan perbuatan pempengaruh itu adalah fitnah, tidak beretika dan kaedah kempen politik yang tidak matang.
Tambahnya, pemain politik seharusnya bijak dan pandai menggunakan kepakaran yang ada dalam kepentingan berpolitik agar tidak memberikan pengaruh yang tidak sepatutnya dalam kalangan masyarakat.
"Meletakkan diri sebagai pemain politik tidak salah. Boleh sahaja gunakan kepakaran yang ada dalam menarik perhatian orang ramai kerana sifat politik sebahagiannya adalah populis, menyanjung hak dan kepentingan awam.
"Kaedah menarik perhatian juga pastinya variasi dan mengangkat versi trend massa. Lebih-lebih lagi khalayak anak muda.
"Politiknya lebih terbuka dan banyak bergantung pada informasi media sosial," ujarnya.
0 Comments