Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN HARAP MOSTI TAMBAH RDC DI KOTA BHARU - EXCO TEKNOLOGI HIJAU


Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 20 Ogos- Kerajaan Negeri Kelantan berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menambah satu lagi Ruang Daya Ciptaan (RDC) di Kelantan khususnya di Kota Bharu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Wan Roslan Wan Hamat berkata, setakat ini hanya ada satu sahaja RDC yang dibangunkan di Kelantan iaitu di Dewan Komuniti Kampung Laut, Tumpat.

"Terima kasih diucapkan kepada pihak MOSTI kerana membangunkan sebanyak 16 RDC di seluruh Malaysia termasuk satu di Kelantan iaitu di Tumpat yang ditubuhkan pada tahun 2022.

"Diharapkan pihak MOSTI menubuhkan satu lagi RDC di Kelantan khususnya di Kota Bharu atau di seluruh jajahan di Kelantan."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu pada Ahad. 

Menurut YB Wan Roslan, sepanjang tempoh pengoperasian RDC tersebut lebih daripada 50 modul atau program Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) telah dijalankan oleh rakan akademi iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan UITM cawangan Kelantan.

"Sejak RDC ini beroperasi, seramai 500 peserta yang terdiri daripada pelajar, belia, usahawan dan komuniti setempat telah mengikuti 50 modul atau program STIE yang dikendalikan oleh UMK dan UITM cawangan Kelantan", jelanya. 

RDC merupakan sebuah Hab Reka Cipta Teknologi dan Inovasi yang menawarkan pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal yang dilengkapi dengan peralatan dan aplikasi teknologi STIE seperti cetakan 3D dan robotik. Ia dibangunkan oleh MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). 

YB Wan Roslan juga merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak MOSTI kerana mengadakan program Rehlah Sains yang merupakan program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di sekolah tahfiz di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang telah dilancarkan pada 8 Ogos lalu.

"Dengan adanya Inisiatif ini, saya berharap pelajar-pelajar sekolah tahfiz tidak terpinggir dalam usaha pembudayaan STI negara. 

"Seterusnya saya berharap sokongan padu pihak MOSTI bagi membangunkan Pusat Sains dan Teknologi Negeri Kelantan untuk Rancangan Malaysia akan datang", ujarnya lagi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ts. Dr Aminidin Hassim, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Dato' Rosnazli Amin dan Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Norazleley Muhammad.

Post a Comment

0 Comments