Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN WARRIORS LAYAK KE LIGA PRIMIER STL 2024


Oleh: Asri Hamat

BUKIT SERINDIT, MELAKA, 30 Ogos- Pasukan sepak takraw Kelantan Warriors mencapai sasaran layak ke liga primier Sepak Takraw League (STL) 2024 setelah berjaya layak ke perlawanan akhir liga divisyen satu STL 2024.

Kelantan Warriors layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Melaka Titans di separuh akhir dengan keputusan 2- 1 (12-15, 15-9 dan 15-13) pagi tadi. Dua pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir dalam liga divisyen satu akan layak untuk beraksi di Liga Primier STL 2024  yang akan berlangsung tahun ini. 

Kelantan Warriors akan bertemu sekali lagi dengan Selangor Pistons di perlawanan akhir yang akan berlangsung malam ini di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, Melaka jam lapan malam.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan D sebelum ini, Kelantan Warriors telah menumpaskan Selangor Pistons dengan keputusan 2-1 (15-9, 8-15 dan 15-6).

Pengurus pasukan Kelantan Warriors, Wan Hassan Wan Ibrahim yakin pasukan Kelantan Warriors akan berjaya muncul sebagai juara berdasarkan permainan yang mantap dan bersemangat yang ditunjukkan oleh para permain.

"Alhamdulillah kita layak ke perlawanan akhir dan insya-Allah pasukan Kelantan Warriors mampu untuk muncul sebagai pemenang dalam perlawanan akhir malam ini memandangkan permainan mantap dan  bersemangat yang ditunjukan oleh para pemain. Lagipun kita pernah menewaskan pasukan lawan iaitu Selangor Piston di peringkat kumpulan sebelum ini," katanya sejurus selepas tamat perlawanan separuh akhir bertemu Melaka Titans pagi tadi.

Sebelum ini, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad dalam sidang media dan majlis  memperkenalkan pemain telah meletakkan sasaran pasukan sepak takraw Kelantan Warriors layak ke liga primier STL 2024 tahun ini. 

Pemain-pemain Kelantan Warriors musim ini adalah Muhammad Fakhrul Akmal Mohd Nakon, Purached, Muhamad Amirul Amir Mohd Alwi, Muhamad Haikal Jamil, Rusdi Leerem, Muhamad Adli Abu Bakar dan Ahmad Badrie Amin Azmi.

Untuk rekod, pasukan Kelantan Warriors sebelum ini berjaya menumpaskan Pahang Mammoth di suku akhir dengan keputusan  2-0 (15-12,15-7) untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir.



Post a Comment

0 Comments