Oleh: Maziah Mat
KOTA BHARU, 5 Ogos – Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan aspek penting dalam pembangunan sosioekonomi di Malaysia khususnya di Kelantan.
Katanya, jalinan kerjasama ini dapat dilihat dengan perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 yang kini berada pada tahap 94.72 peratus dan dijangka siap pada Mac tahun depan.
“Alhamdulillah, kerjasama yang terjalin erat ini akan memberi banyak manfaat terutama kepada rakyat dan ucapan penghargaan saya kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim atas komitmen tinggi ini bagi memastikan pembangunan ini berjalan lancar,” katanya melalui platform media sosial miliknya semalam.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan dan mengiringi Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar yang tiba di Kelantan dalam lawatan kerja bersama Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin untuk melihat kemajuan projek kesalinghubungan yang sedang dijalankan iaitu pembinaan jambatan menghubungkan Sungai Golok, Narathiwat di Thailand dan Rantau Panjang.
Sementara itu, memetik laporan daripada Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham, Thailand dijangka akan memulakan projek pembinaan jambatan kedua yang dikenali sebagai Jambatan Kembar di Rantau Panjang-Sungai Golok pada April tahun hadapan yang berfungsi sebagai jambatan kedua yang akan mempunyai enam lorong bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand.
0 Comments