Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 21 Ogos – Seiring dengan perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI), Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) komited untuk melengkapkan masyarakat Kelantan khususnya pengamal media dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini.
Salah satu inisiatif yang dilaksanakan ialah penganjuran Bengkel Inovasi AI Pengkhususan Media dan Informasi kepada pemain industri bidang media dan maklumat.
Bengkel yang berlangsung pada 19 dan 20 Ogos itu telah meningkatkan kompetensi sumber manusia dalam bidang media dan maklumat, seterusnya membolehkan mereka memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan untuk meningkatkan kualiti kerja dan perkhidmatan awam.
Jurufoto Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Shazliza Shamsudin mengakui kemahiran melakukan generatif AI memberi ruang kepadanya untuk bereksperimen dengan format dan gaya baharu pasca bidikan lensa.
“Setelah menguasai teknologi AI, saya boleh mencipta naratif foto pemimpin negeri dengan lebih kreatif dan inovatif yang mencabar konvensi media tradisional serta menarik perhatian khalayak dengan pendekatan yang segar dan unik.
“Terima kasih UPKN atas penganjuran bengkel yang sangat efektif kerana pembimbingnya sangat berpengetahuan dan menepati keperluan peserta,” katanya selepas program di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim, pada Isnin.
Sementara itu, pembimbing bengkel Ts Izzuddin Ismail mempelawa 100 alumni peserta bengkel AI anjuran UPKN atau pihak yang berminat untuk belajar grafik boleh terus menempa slot bagi bulan-bulan yang seterusnya dengan menghubungi nombor www.wassap.my/0105758397/inhousetraining atau emel ke admin@tarbiahkreatif.edu.my
“Pasukan kami juga bersedia mengendalikan bengkel berkaitan AI atau bidang berkaitan komputer mengikut keperluan pelanggan,” jelasnya.
0 Comments