Oleh: Norzana Razaly
GUA MUSANG, 4 Ogos - Laungan takbir, selawat, julangan poster dan kibaran bendera berlogo bulan purnama mengiringi perarakan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail ke pusat penamaan calon di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyertai perarakan tersebut.
"Kita berasa terharu dengan sokongan para pemimpin PN yang sanggup menyertai perarakan calon kita. Lebih mengujakan apabila melihat sokongan padu para penyokong PN dari seluruh Malaysia secara sukarela, berpanas berpeluh bersama-sama, menunggu pengumuman pengesahan borang pencalonan daripada pihak SPR dengan sabar dan tenang tanpa sebarang provokasi," katanya.
Tambahnya, sikap terpuji tersebut mesti terus dikekalkan oleh semua pihak khasnya petugas aktiviti kempen.
"Kita berharap semangat dan sikap terpuji yang ditunjukkan oleh penyokong PN pada hari ini dapat diteruskan sepanjang kempen PRK Nenggiri berlangsung," ujarnya.
Hal yang sama turut ditekankan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengingatkan para jentera kempen mengamalkan sikap harmonis sebagaimana dilakukan pada pilihan raya lain sebelum ini.
Timbalan Presiden PAS itu juga berpesan, semua petugas hendaklah mengekalkan budaya politik matang dan sejahtera dengan berkempen secara bersih bagi melancarkan setiap aktiviti.
“Kita akan bertemu setiap pengundi di DUN Nenggiri bagi memastikan mereka mengundi PN yang menggunakan lambang PAS,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 5 ribu penyokong PN selepas majlis penamaan calon PRK Nenggiri selesai.
Dato' Seri Tuan Ibrahim juga meminta para penyokong mengambil semangat jihad sempena kematian pemimpin kanan Hamas al Syahid Ismail Haniyeh bagi menyemarakkan lagi perjuangan.
“Kita mohon kepada Allah Taala memberi kemenangan kepada calon PN,” ujar beliau.
0 Comments