KOTA BHARU: Lebih
1,000 anak muda dari seluruh negara menyertai Konvoi Anak Muda sempena Sambutan
75 Tahun PAS (Jubli Intan) pada Muktamar Tahunan PAS di PUTIK semalam.
Himpunan bersejarah itu memperlihatkan sokongan dan keyakinan generasi muda terhadap perjuangan PAS. Ia menghimpunkan peserta dari pelbagai negeri turut membawa mesej politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Konvoi berkenaan diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi, yang juga Timbalan Ketua Pengarah DACS Dewan Pemuda PAS Malaysia.
“Ini adalah satu amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Anak muda terus bersama PAS. Anak muda tidak mudah termakan dengan dakyah PH.
“Bersedialah untuk dikuburkan dalam PRU ke-16. Anak muda akan menjadi 'penggali kubur' kepada PH nanti,” katanya ketika berucap pada majlis itu petang semalam.
Menurut beliau, penyertaan anak muda pada konvoi tersebut membuktikan generasi baharu tidak lagi mahu sekadar menjadi pemerhati dalam percaturan politik negara.
Sebaliknya, anak muda semakin bersedia dan berani untuk tampil sebagai kelompok yang memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.
Terdahulu, konvoi berkenaan berkumpul di Pusat Khidmat DUN Panchor sebelum bergerak ke Dataran Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan.
Program diteruskan dengan solat Asar berjemaah sebelum peserta mengikuti Pidato Anak Muda yang menampilkan Mohd Firdaus dan Ketua Pengarah ARC Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkapli.
Hanafi merakam penghargaan kepada peserta yang hadir dari seluruh negara dan ARC Kelantan.
Kemuncak program diserikan dengan program Santai Anak Muda yang menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Konvoi Anak Muda antara pengisian yang menyerlahkan peranan generasi muda dalam Sambutan 75 Tahun PAS.


0 Comments