Ticker

6/recent/ticker-posts

WAKAF TUNAI MAIK, PELBAGAI SEKTOR TERIMA MANFAAT


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 12 Ogos - Pelbagai sektor telah menerima manfaat daripada wakaf tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2015.

Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga tahun 2023 jumlah terkumpul wakaf tunai MAIK adalah sebanyak RM10.2 juta. 

"Sebanyak RM9.2 juta sumbangan wakaf tunai MAIK Telah diagihkan dan dimanfaatkan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan projek.

"Sumbangan wakaf tunai dalam sektor kesihatan telah memberi manfaat sewajarnya kepada masyarakat dengan pembelian pelbagai mesin perubatan. 

"Antaranya mesin oksigen dan katil wakaf, mesin bunyi ultra untuk membantu ibu mengandung mendapat rawatan, mesin distortion product otoacoutic emission untuk mengesan pendengaran awal bayi. Mesin ini ditempatkan di Klinik Kesihatan Sungai Pinang, Tumpat", katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Bulan Wakaf MAIK 2024 di sebuah hotel pada Selasa.

Menurut Tengku Temenggong Kelantan itu juga, selain pembelian peralatan kesihatan, wakaf tunai MAIK turut dimanfaatkan untuk keperluan dalam bidang pendidikan.

"Dalam segmen pendidikan, sumbangan wakaf tunai digunakan untuk projek menaik taraf bangunan tahfiz bagi keselesaan pelajar di Tahfiz Sulaimaniyyah, Tumpat serta pembinaan tahfiz baharu untuk pelajar perempuan di Kampung  Cabang Tiga Pendek, Kota Bharu", ujarnya. 

"MAIK juga mengunakan wang wakaf tunai yang disumbangkan untuk pembinaan tandak air di Jajahan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang serta membina 18 unit telaga tiub di Kota Bharu dan sebuah jeti di Kuala Krai", katanya lagi. 

Di samping itu, MAIK turut mengglobalkan agihan sumbangan wakaf tunai melalui program pengedaran satu juta naskah Al-Quran ke seluruh dunia dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Wakaf Malaysia. 

Dalam majlis yang sama, beliau menyeru semua ketua jabatan, badan bukan kerajaan (NGO), imam-imam untuk memberi galakan kepada kakitangan jabatan dan anak mukim masing-masing supaya mengimarahkan amalan berwakaf. 

“Setiap pewakaf akan mendapat pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967,” jelasnya.

Selain Pelancaran Bulan Wakaf, turut dilancarkan buku Tokoh Wakaf yang merangkumi sejarah wakaf Sultan Mansor Ibni al-Marhum Sultan Ahmad. 

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Md Daud, Sohibus Somahah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Timbalan YDP MAIK Dr Hasnan Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato' Sheikh Zakaria Othman.


Post a Comment

0 Comments